GUA MUSANG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu projek pembinaan jalan perhubungan Kuala Betis-Pos Bihai-Pos Belatim-Pos Balar-Pos Hau-Kuala Betis di sini yang melibatkan penempatan masyarakat Orang Asli percepatkan dengan kadar segera.
Ahmad Zahid berkata, mengikut perancangan kerja-kerja pembinaan mengambil masa selama 48 bulan namun beliau telah meminta Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya kontraktor yang dilantik mempercepatkan penyiapan projek tersebut.
Menurutnya, hal ini kerana beliau dan kerajaan mahu segera menoktahkan kesengsaraan yang dialami oleh masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman.
“Pembinaan itu akan memberi manfaat kepada 7,147 masyarakat Orang Asli dari suku kaum Temiar di 68 buah kampung. Ia melibatkan jarak sejauh 94 kilometer dengan peruntukan berjumlah RM190 juta.
“Ketika ini penduduk menggunakan jalan tanah yang sedia ada untuk keluar ke bandar bagi tujuan aktiviti ekonomi,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa di Kuala Betis-Pos Bihai-Pos Belatim-Pos Balar-Poshau-Kuala Betis dan Projek Mengganti Jambatan Batu 6, Nenggiri di Dataran Kejat Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, usaha itu bertujuan memastikan urusan harian masyarakat di pedalaman lancar selain memberikan jaringan perhubungan yang lebih baik.
Katanya, pada masa sama kerajaan meluluskan projek menggantikan Jambatan Batu 6 di Nenggiri bernilai RM11 juta.
“Pembinaan projek itu akan dimulakan sekali dengan pembinaan jalan perhubungan Kuala Betis-Pos Bihai-Pos Belatim-Pos Balar-Pos Hau-Kuala Betis.
“Jambatan sepanjang 135 meter itu akan dilengkapi dengan pemasangan lampu jalan jenis solar diod pemancar cahaya (LED),” ujarnya.-UTUSAN











