YAN: Paras air Empangan Muda di Sik dan Empangan Bukit Merah dekat Perak masih merekodkan bacaan kritikal setakat pagi ini walaupun Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilakukan bermula semalam.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, enam lagi empangan berada pada tahap berjaga-jaga termasuk Empangan Pedu dan Beris di negeri ini.
Menurutnya, OPA masih berbaki dua hari sehingga esok sebelum dapat melihat kesan daripada proses itu yang diharapkan boleh menghasilkan hujan.
“Kesan berjaya itu maksudnya kita kena tengok daripada keseluruhan empangan tersebut. Semalam baru permulaan dan hari ini akan diteruskan operasi sehingga esok.
“Kalau tengok empangan itu parasnya masih tidak berubah berbanding bacaan semalam yang masih paras sama tetapi insya-Allah itu ikhtiar kita,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo Titi Hayun yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusuf@Munir Zakaria, di sini hari ini.
Akhbar ini melaporkan, bekalan air di Kedah pada situasi membimbangkan ekoran paras air di tasik-tasik yang menjadi kawasan takungan semakin menyusut akibat faktor cuaca panas dan kemarau.
Setakat semalam, paras takungan tiga empangan utama di negeri ini iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning berada pada tahap 45 peratus berbanding 47 peratus pada Khamis lalu.
Semalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut melaksanakan OPA di sekitar Empangan Muda dan Bukit Merah bagi meningkatkan kapasiti air yang kini terjejas ekoran cuaca panas.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Yusuf memaklumkan, pelepasan secara berkala 10 meter padu air dari Empangan Beris ke Sungai Muda dijangka boleh bertahan sehingga penghujung September sekiranya masih tidak berlaku hujan.
“Empangan Beris adalah kawasan simpanan rizab air mentah yang akan digunakan pada waktu-waktu kritikal seperti ini kerana jika tidak dilepaskan bukan sahaja bekalan air ke Pulau Pinang terjejas tapi Syarikat Air Darul Aman (SADA) sendiri tidak boleh salurkan air kepada pengguna di negeri ini.
“Apa-apa pun kita mengharapkan penggunaan yang berhemah oleh orang ramai agar bekalan sedia ada dapat terus menampung permintaan pengguna sehingga paras empangan kembali stabil,” katanya. -UTUSAN











