KUANTAN: Demi hawa nafsu dan mementingkan wang ringgit, segelintir individu sanggup menggadaikan integriti dan membiarkan tanah di negeri ini ‘dijajah’ dan ‘diratah’ secara terang-terangan oleh pendatang asing.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, sebagai contoh, tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing.
“Lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya.
“Oleh itu, beta mahu kerajaan beta memantau aktiviti ini dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan aktiviti seperti ini tidak lagi berlaku. Tiada kompromi terhadap isu seperti ini daripada beta.
“Jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara. Laksanakanlah amanah yang diberi ini dengan penuh integriti dan ingatlah setiap kerja buat dan tanggungjawab kita akan dipersoalkan kelak,” titah baginda sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang Yang Ke-65 di Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru agar semua rakyat bekerjasama dalam memberikan maklumat kepada pihak berkuasa tentang segala bentuk jenayah dan salah laku yang berlaku kerana ia tanggungjawab bersama.
“Percayalah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat,” titah baginda.
Sultan Pahang juga meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengkaji secara mendalam rancangan pembangunan di Cameron Highlands khususnya pada masa akan datang.
“Hanya dengan pendekatan holistik, tegas dan lestari akan dapat menyelamatkan tanah tinggi berkenaan daripada segala bentuk kerakusan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah, alam sekitar adalah lukisan tuhan paling indah, jadilah penjaga seni yang baik.
Titah baginda lagi, keindahan alam bukan hanya memberi manusia kehidupan semata-mata tetapi turut menyediakan sumber daya yang diperlukan untuk hidup.
“Sungai-sungai di Pahang adalah urat nadi kehidupan. Ianya bukan sahaja menyediakan bekalan air untuk pertanian dan kegunaan domestik, tetapi juga merupakan habitat pelbagai jenis flora dan fauna.
“Namun, sungai-sungai kita sering kali tercemar dengan sisa-sisa industri, pencemaran plastik dan bahan kimia berbahaya yang boleh merosakkan persekitaran serta menjejaskan kesihatan manusia,” titah baginda.
Oleh itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan semua pihak tidak kira sama ada pemerintah, pemain industri, komuniti setempat sehingga kepada setiap individu untuk sama-sama berganding bahu dalam memelihara alam sekitar ini.
“Jangan biarkan keindahan bumi hijau ini terusik oleh pencemaran dan kecuaian kita sendiri,” titah baginda. – UTUSAN










