PADANG TERAP: Cuaca panas dan musim kemarau berpanjangan yang melanda negeri ini turut mengakibatkan perkampungan lama boleh dilihat semula oleh orang ramai di dasar Tasik Pedu, di sini.
Sebelum ini, Kampung Mong Gajah di tasik itu ditenggelamkan sekitar 1970-an bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Empangan Pedu.
Kesan tinggalan seperti serpihan telaga air yang digunakan oleh penduduk kampung itu dahulu juga masih dapat dilihat ketika tasik mengering ketika ini.
Melalui tinjauan yang dibuat, kenderaan yang memasuki kawasan perkampungan lama itu boleh dipandu sehingga ke bahagian tengah tasik atau hampir 1 kilometer dari tebing yang sebelum ini dipenuhi air.
Selain itu, tapak perkuburan lama dipercayai berusia lebih 100 tahun turut kelihatan, namun buat masa ini hanya pagar yang mengelilingi kubur itu boleh dilihat.

Sekiranya keadaan semakin kritikal, penyusutan berterusan air di Tasik Pedu akan menampakkan batu nisan yang kali terakhir dapat dilihat pada 2020 dan semasa fenomena El Nino pada 2016.
Sebelum ini, terdapat waris yang mencadangkan perkuburan itu dipindahkan ke tempat lain, namun Jabatan Mufti melihat tiada keperluan berbuat demikian kerana usianya yang sangat lama.
Justeru, sekiranya dasar tasik di kawasan kubur itu kelihatan, penduduk dan waris yang tinggal berdekatan akan mengambil peluang menziarahi walaupun mereka tidak pasti yang mana satu kubur nenek moyang mereka.
Setakat semalam, Empangan Pedu merekodkan takungan sebanyak 357,655 ekar kaki atau bersamaan 40.87 peratus.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selaku pengendali memaklumkan, takungan empangan itu akan berada pada tahap 53.93 peratus atau 471,90 ekar kaki pada penghujung September ini berdasarkan unjuran yang dibuat.
Takungan semasa di Empangan Pedu juga masih mampu memenuhi bekalan pengairan bagi menjayakan penanaman padi Musim 1/2024 termasuk permintaan keperluan domestik dan industri di Kawasan Muda.
Malah, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di sekitar Empangan Pedu dan Empangan Muda, semalam bagi membolehkan penghasilan hujan. -UTUSAN











