GEORGE TOWN : Aktiviti berkuda yang ditawarkan kepada pengunjung oleh pengendali perkhidmatan berkenaan di sepanjang pantai Batu Ferringgi kini dilarang sepenuhnya berkuatkuasa 1 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’Ng Mooi Lye berkata, keputusan itu diambil demi menjaga keselamatan orang ramai susulan terdapat banyak aduan daripada orang awam dan operator hotel yang bimbang dengan keselamatan pengunjung pantai.
“Ada banyak faktor yang dipertimbangkan sebelum keputusan ini diambil. Antaranya ialah dari aspek kebersihan, keselamatan pengunjung, kebajikan haiwan dan lain-lain.
“Jadi, kerajaan negeri telah menetapkan bahawa, bermula 1 September ini, aktiviti berkuda diharamkan sepenuhnya di pantai Batu Ferringhi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Difahamkan, selain Batu Ferringhi, aktiviti berkuda itu turut diharamkan di kawasan pesisir pantai Teluk Bahang juga bermula pada 1 September ini.

Menurut Mooi Lye, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam berkaitan dengan soal kebersihan dan kebajikan kuda-kuda berkenaan sebelum ini.
Dalam pada itu, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah berkata, pihaknya juga telah membangkitkan isu yang sama sebelum ini kepada kerajaan negeri dan menyokong keputusan tersebut.
Ini kerana, kata beliau, kuda-kuda di kawasan pesisir pantai itu kini telah mencecah 30 ekor dan keadaan kuda tersebut juga uzur dan sakit.
“Kuda-kuda ini disimpan di kawasan kampung-kampung dan ada penduduk mengadu mengenai soal najis kuda-kuda ini yang mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk.
“Jadi, atas unsur keselamatan awam dan kesihatan semua pihak, kerajaan negeri memutuskan perkara ini (melarang aktiviti berkuda di pantai),” katanya.-UTUSAN









