DALAM usaha memperkasa orang kurang upaya (OKU), seramai 14 OKU penglihatan dipilih menyertai program Inclusive Agro Universiti Putra
Malaysia (UPM).
Menurut Ketua Projek, PM Dr. Nor Wahiza Abdul Wahat, program itu memfokuskan kepada penglibatan OKU penglihatan dalam
penanaman cendawan tiram kelabu.
Program itu juga selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) antara universiti itu dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang dimeterai pada 7 Mac 2023.
“Objektif projek perintis ini adalah untuk melahirkan usahawan tani bandar dalam kalangan OKU penglihatan.
“Seramai 14 orang terlibat di dalam projek komuniti ini. Projek ini juga melibatkan pelajar UPM melalui sistem sokongan yang dinamakan
sebagai skuad sukarelawan UPM-MAB,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Program itu juga merupakan projek komuniti antara Fakulti Pengajian Pendidikan; Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat; Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; Sekolah Pertanian dan Ekonomi; Pusat Transformasi Komuniti UPM dan Pusat Pertanian Putra.
Sehingga kini aktiviti yang telah dilaksana dalam projek tersebut adalah taklimat projek rintis Inclusive Agro kepada OKU penglihatan, Latihan Inclusion and Visual Impairement Simulation untuk ahli skuad sukarelawan UPM-MAB serta ahli projek komuniti itu.
TANAM CENDAWAN
Mengulas lanjut, katanya, cendawan tiram kelabu adalah yang paling sesuai untuk diusahakan oleh OKU penglihatan.
Tanaman itu mudah ditanam dan dituai dengan hanya menggunakan deria sentuhan.
Selain itu, ia juga merupakan sumber protein yang mempunyai permintaan di pasaran sekali gus boleh dijadikan jualan.
Ini bermakna, ia bukan sekadar dapat meningkatkan kemahiran peserta, malah menjana pendapatan untuk mereka.
“Hasil yang dituai pada fasa pertama dinikmati terlebih dahulu oleh OKU tersebut. Hasil penuaian seterusnya akan dijual oleh OKU sendiri.
“Program ini dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan OKU dalam penanaman cendawan tiram kelabu dan juga keusahawanan.” jelasnya.
LATIHAN INKLUSIF
Latihan penanaman cendawan tiram kelabu kepada 14 peserta itu diberikan dengan kaedah bersama pengiring mereka yang terdiri daripada ahli keluarga atau rakan serta ahli skuad sukarelawan UPMMAB.
“Slot penanaman cendawan disampaikan oleh Zaliza Mahat dari Pusat Pertanian Putra yang dibantu oleh beberapa pakar bidang.
“Manakala slot penggunaan Internet of Things (IoT) disampaikan oleh T.S Dr. Ng Keng Yap dan T.S PM Dr. Yusmadi Yah dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.
“Slot keselamatan dan kesihatan pula disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, PM Dr. Ng Yee Guan,” jelasnya.
Setakat ini, seramai 14 OKU Penglihatan dari Lembah Klang dan Selangor berjaya menuai cendawan tiram kelabu untuk dua pusingan di kediaman masing-masing.
Peserta akan melengkapkan empat pusingan penuaian lagi sebagai aktiviti pemindahan latihan.
Seterusnya mereka akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pula dalam keusahawanan ke arah menjadi usahawan tani cendawan tiram kelabu.











