KANGAR: Kesungguhan untuk mengubah kehidupan ke arah lebih selesa dengan mengusahakan perniagaan sendiri mendorong lebih 40 peratus daripada kira-kira 4,000 nelayan di negeri ini terutama di Kuala Perlis keluar daripada kepompong kemiskinan.
Malah, Program Transformasi Diraja di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai yang kini menjadi sebuah daripada lokasi pelancongan popular turut banyak membantu kepada perkembangan ekonomi nelayan di sini.
Jika dahulu kehidupan mereka cukup susah dengan 80 peratus penduduk daripada golongan asnaf namun kini banyak dalam kalangan nelayan di sini sudah mampu menjalani kehidupan di rumah yang lebih selesa serta mempunyai kenderaan sendiri dengan tidak lagi hanya bergantung kepada hasil pendapatan di laut yang tidak menentu.
Sebagai contoh, ada dalam kalangan nelayan yang mengusahakan perkhidmatan ‘choley’ di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai di sini mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan begitu juga dengan pengusaha-pengusaha produk tempatan lain yang menjana pendapatan ribuan ringgit.
Perubahan hidup nelayan Perlis ke arah yang lebih berkualiti melalui transformasi di perkampungan nelayan wajar dicontohi perkampungan-perkampungan nelayan lain di seluruh negara bagi memastikan golongan tersebut yang sinonim dengan kemiskinan dapat keluar daripada kepompong tersebut.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Perlis, Asri Jab, 50, berkata, perkembangan di Perkampungan Nelayan Seberang Ramai yang menjadi lokasi pelancongan popular banyak membantu kepada peningkatan ekonomi penduduk.
Katanya, apa yang lebih penting bagaimana keingingan atau kesungguhan nelayan itu sendiri untuk mengubah kehidupan apabila peluang sudah ada di depan mata.
Ujarnya, tidak dapat dinafikan, kehidupan nelayan di sini satu ketika dahulu cukup susah dengan hanya bergantung kepada pendapatan hasil apabila turun ke laut.
“Apabila Kampung Warna-Warni Seberang Ramai ini sudah berubah selepas melalui transformasi sehingga menjadi lokasi pelancongan popular, agak rugi jika kita tidak ambil peluang untuk mengubah kehidupan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Transformasi luar biasa itu bermula hasil cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Baginda dan Puteri Sharifah Khatreena mahu melihat transformasi di perkampungan itu selain bertujuan menjadikannya sebagai contoh kepada masyarakat setempat dan ia menjadi realiti.
Projek pengindahan tersebut bermula sejak 2019 itu dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) dengan kerjasama Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, pelbagai agensi serta jabatan kerajaan serta masyarakat setempat.











