KUALA LUMPUR: Felda sebagai peneraju sektor pertanian sejak 68 tahun lalu sewajarnya membangunkan sebuah universiti khusus untuk anak-anak peneroka bagi menaik taraf institusi tersebut.
Ia juga sekali gus sebagai usaha memastikan anak-anak Felda tidak tercicir dalam pendidikan.
Dengan cara ini, anak-anak Felda ini boleh melanjutkan pengajian di peringkat diploma mahupun ijazah dengan fokus dalam bidang perladangan yang selama ini sektor berkenaan menjadi penyumbang utama dalam ekonomi negara.
Pensyarah Kanan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Dr. Normala Ismail berkata, penubuhan universiti Felda adalah langkah positif di samping dapat membuka peluang pekerjaan kepada tenaga pakar yang benar-benar layak untuk melatih anak-anak peneroka dalam bidang tersebut.
“Memang ada banyak universiti yang ditawarkan program pertanian tetapi Felda boleh fokuskan dalam bidang perladangan, menjadikannya sebagai sebuah universiti yang verifikasinya dalam bidang perladangan dan fokus kepada anak-anak Felda.
“Dengan cara ini, anak-anak Felda dapat terus maju dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pertanian. Perkara ini juga boleh menambah peluang untuk orang muda mendapatkan kemahiran dalam bidang perladangan, malah turut menambah minat generasi muda terhadap perladangan.
“Bagi mencapai sasaran ini, kerajaan perlu memastikan jaminan universiti Felda memberi fasiliti terbaik dalam pembelajaran termasuk penyediaan tenaga pengajar yang bagus untuk anak-anak peneroka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, Felda begitu gah menyambut hari peneroka setiap tahun tetapi ketinggalan dalam merealisasikan universiti milik agensi itu demi pendidikan tinggi generasi tanah rancangan tersebut.
AMBFM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak dahulu lagi sudah mencadangkan penubuhan Universiti Felda tetapi saranan tersebut bagaikan angin lalu sehinggalah usia Felda sudah 68 tahun ketika ini.
Normala berkata, dalam hal ini kerajaan perlu mengkaji secara spesifik mengenai objektif pendidikan program supaya jelas dan tidak bertindih dengan mana-mana universiti yang menawarkan program pertanian perladangan sedia ada. – UTUSAN











