BERMULA selepas berhenti kerja akibat menjaga anak yang menghidap kanser, usahawan, Zai Suhana Mohd Tap, 42, kemudian menceburi perniagaan berasaskan durian belanda selepas menjumpai khasiatnya dalam perubatan sehingga mampu mencapai jualan mencecah ribuan ringgit.
Pemilik Zaieys Global Resources itu berkata, ilham untuk meneraju perniagaan berasaskan durian belanda timbul selepas mengamalkan air itu semasa proses rawatan anaknya yang menghidap kanser mata.
“Bermula dari situ, saya terus mengambil inisiatif untuk membuat air durian belanda sendiri. Saya belajar macam mana untuk memproses buah itu dan menjual untuk menambah pendapatan keluarga.
“Saya bermula secara kecil-kecilan dalam 50 ke 100 botol dan tidak menyangka mendapat permintaan yang agak memberangsangkan terutamanya daripada pesakit kanser.
“Pada mulanya, kami hanya mempunyai satu perisa sahaja namun atas permintaan yang tinggi daripada pelanggan, kami telah menginovasi kepada beberapa perisa lain iaitu asli, gula, lemon dan madu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, kilang pada masa ini mampu untuk mengeluarkan dalam 3,000 botol sebulan bagi jus durian belanda dan menyasarkan jualan 50,000 botol untuk tahun ini.
“Kami turut menjual produk secara dalam talian kerana mendapat permintaan yang tinggi dari seluruh Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata, selepas mendapat permintaan yang memberangsangkan, dia bersyukur kerana mendapat bantuan sebanyak RM10,000 yang diterima melalui Program iTEKAD Mawaddah oleh Bank Muamalat.
“Melalui bantuan yang diterima, saya berpeluang untuk menambahkan stok durian belanda bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan membeli peralatan di kilang.
“Selain menerima pembiayaan, usahawan di bawah program ini juga akan menerima bimbingan, latihan serta khidmat nasihat berkenaan perniagaan dan pemasaran daripada pegawai mereka.
“Dengan bimbingan yang diberikan oleh mereka, boleh dikatakan perjalanan saya sebagai seorang usahawan sekarang semakin maju kerana idea-idea yang mereka kongsikan, saya cuba aplikasikan untuk kembangkan lagi perniagaan saya,” katanya.
Jelas Zai Suhana, hasil bimbingan tersebut, dia dapat menambah variasi daripada satu produk kepada beberapa produk lain seperti daun durian belanda, teh durian belanda dan isi durian belanda.
“Tidak hanya itu, mereka juga menyediakan gerai jualan kepada usahawan yang menerima pembiayaan itu di Bank Muamalat untuk membantu usahawan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati usahawan lain agar sentiasa bekerjasama dengan badan korporat dalam meluaskan perniagaan seperti Bank Muamalat.
“Proses mendapatkan pinjaman yang mudah dan disertakan dengan kursus pendidikan dalam bidang keusahawanan yang sangat berbaloi kepada usahawan. Oleh itu, saya amat galakkan usahawan untuk mencuba.
“Buat masa ini, walaupun tempoh kontrak pembiayaan saya telah tamat, mereka masih membantu saya untuk mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang pasti akan memajukan lagi perniagaan saya,” ujarnya.
Jus durian belanda keluaran Zaieys Global Resources dijual pada harga RM6, daun durian belanda (RM18) dan isu durian belanda (RM25).–UTUSAN










