Ibu mentua jaga kebajikan menantu hidap angin ahmar

Ibu mentua jaga kebajikan menantu hidap angin ahmar

RO Ishak (kanan) dan Nabila Haris menjaga kebajikan Haris Siron yang menghidap penyakit angin ahmar di Felda Kota Gelanggi Empat di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang duda, Haris Siron, 58, memohon bantuan bagi menampung belanja keperluan dapur, persekolahan anak serta mengubati penyakit angin ahmar dihidapinya di Felda Kota Gelanggi Empat di sini.

Ibu mentua Haris, Ro Ishak, 73, berkata, dia kini menguruskan kebajikan menantunya serta menjaga tiga cucu yang berusia sembilan, 14 dan 16 tahun yang masih bersekolah di tanah rancangan tersebut.

“Mahu tidak mahu, saya terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga menantu dan cucu kerana ibunya sudah lama meninggal dunia malah sebelum ini mereka (cucu) pun tinggal di rumah ini.

“Menantu saya disahkan menghidap angin ahmar apabila dia tiba-tiba terjatuh selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan dikejarkan ke Hospital Bandar Pusat Jengka awal bulan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Ro, sebelum ini menantunya juga mengalami komplikasi penyakit buah pinggang tahap empat, kencing manis dan darah tinggi yang kerap berulang alik mendapat rawatan di hospital.

“Sebelum kejadian, dia (menantu) mengadu pipinya kerap kebas dan saya menasihatkannya segera ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan dan ketika selesai mengambil ubat dia terjatuh sebelum menaiki kereta.

“Dia ditempatkan selama dua minggu di Hospital Bandar Jengka untuk mendapatkan rawatan dan pulang selepas itu lalu terlantar sehingga kini,” katanya.

Keadaan anggota bahagian kiri menantunya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan seperti lengan dan kaki tidak boleh diangkat langsung, manakala mata sebelah kanan mengalami gangguan penglihatan.

Orang ramai yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Haris di talian 0196540921 Nabila Haris (0134130904) ataupun terus ke akaun Public Islamic Bank bernombor 6-9318165-05 (Haris Siron).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×