KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) diberikan tempoh tiga bulan sehingga Oktober ini dalam segala aktiviti jual beli gas asli di Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum ini Sarawak memutuskan syarikat petroleum milik kerajaan Sarawak, Petros akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak bermula 1 Julai ini.
“Mereka (Petronas) minta ditangguhkan daripada 1 Julai dan kita memberi mereka tempoh tiga bulan sahaja untuk menyelesaikan isu ini sehingga 1 Oktober tahun ini.
“Bagaimanapun, perbincangan masih ada dan itu sahaja tempoh yang kita beri. Selepas Oktober, peranan itu (aktiviti jual beli gas asli) akan diambil alih oleh Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) sepenuhnya,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri upacara menaikkan bendera Sarawak, Ibu Pertiwi, di Dataran Ibu Pertiwi, Petra Jaya, di sini hari ini.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Mei tahun ini, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, Petros akan mengambil alih peranan Petronas dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak, bermula 1 Julai tahun ini.
Jelas Julaihi, Petros dan Petronas juga bersetuju untuk menandatangani perjanjian definitif (Definitive Agreement), dengan Petronas mengambil maklum peranan Petros sebagai Pengagregat Gas Tunggal di bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), 2023.-UTUSAN










