BERCINTA dengan suami orang mungkin datang dengan harga yang terpaksa dibayar atas perbuatan itu.
Rasa bersalah dan penyesalan menjadi teman setia, menghantui setiap langkah dan pilihan di masa depan.
“Ambillah iktibar dari pengalaman yang saya lalui, dan semoga wanita di luar sana tidak perlu melalui kesakitan yang sama,” luah Farhana (bukan nama sebenar) yang baru-baru ini tampil berkongsi pengalaman pahit manis selama empat tahun bercinta dengan suami orang.
Dalam pertemuan diatur bersama saya baru-baru ini, akui Farhana hubungan terlarang itu hanya menjejaskan maruah dan reputasi mereka sendiri.
Menyingkap kembali hubungan awal dengan lelaki berstatus suami orang itu, kata Farhana semuanya bermula dengan sebuah pertemuan yang tidak dirancang di sebuah kafe.
Azizul (bulan nama sebenar) seorang lelaki yang kelihatan matang dan penuh karisma.
Perbualan mereka semakin hari semakin rapat dan tanpa disedari perasaan cinta mulai bercambah.
Namun, cinta ini bukanlah satu kebahagiaan mutlak. Setiap pertemuan mereka diselubungi rasa bersalah dan ketakutan.
Farhana sedar tindakan mereka itu salah, tetapi hatinya tidak mampu menolak perasaan yang semakin mendalam.
Namun kesan negatif daripada hubungan itu semakin dirasakan. Farhana merasakan dia semakin jauh daripada keluarga dan kawan-kawan.
Kehidupan semakin rumit apabila isteri dan anak-anak Azizul mula mengetahui hubungan mereka.
Bukan sekali dua, setiap kali mereka keluar, pasti ada sahaja panggilan telefon diterima daripada isteri Azizul.
Dari nada suara, jelas si isteri mulai curiga dan mula menyiasat pergerakan suaminya setiap kali keluar.
Sesekali Azizul menceritakan tentang pergaduhannya dengan isterinya yang semakin kerap anak-anak mula merasakan perubahan sikap bapa mereka yang sering tiada di rumah.
“Ketika itu saya mula merasakan bebanan kesalahan yang semakin berat.
Krisis semakin memuncak apabila dia juga mula menerima panggilan dari nombor-nombor yang tidak dikenali, mengugut dan mencaci makinya.
Menyambung cerita kata Farhana, di tempat kerja, gosip mengenai hubungan terlarangnya tersebar luas dan begitu cepat.
Dia menjadi buah mulut rakan sekerja dan pandangan mereka terhadapnya mula berubah.
Mereka melihatnya sebagai seorang yang tidak bermoral dan bercakap tidak serupa bikin, konon-kononnya terpaling menentang hubungan dengan suami orang.
Sedangkan dalam masa sama, dia sendiri yang terperangkap dengan cinta terlarang itu.
Ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan yang selama ini menyayangi, mula melihatnya dengan pandangan berbeza.
Kehilangan kepercayaan kedua orang tersayang itu amat sukar diterima, adik beradik Farhana juga turut merasakan kesannya.
Mereka sering menjadi sasaran ejekan dan sindiran daripada kawan-kawan mereka.
Hubungan Farhana dan adik beradik yang sebelum ini rapat kini menjadi dingin.
Mereka memganggapnya sebagai punca segala masalah dan malu yang menimpa keluarga.
Di kalangan kawan-kawan penerimaan mereka berbeza-beza.
Ada yang langsung memutuskan hubungan dengannya, tidak mahu terlibat dengan skandal dengan suami orang.
Mereka menganggap dia wanita yang tidak bermoral dan tidak menghormati wanita lain.
Namun ada juga segelintir yang cuba memahami situasinya.
Mereka sudi mendengar cerita dari pihaknya, walaupun mereka tidak bersetuju dengan tindakannya itu.
Mereka memberi sokongan moral dengan lebih menasihati agar memperbaiki diri dan mencari jalan keluar daripada masalah itu.
Kemuncak pada hubungan mereka adalah apabila pada suatu hari dia bertemu dengan isteri lelaki yang dicintai.
Pertemuan itu terjadi secara kebetulan di sebuah pusat membeli-belah.
Pertemuan berlangsung kurang 15 minit itu membuatkan hatinya sedikit tercuit apabila wanita itu mula berbicara dengan menahan tangis.
Wanita itu menceritakan bagaimana hubungan terlarang dengan suami telah menghancurkna keluarganya.
Farhana hanya mendengar tanpa berkata apa-apa. Dia berasakan diri semakin kecil dan tidak berharga.
Apa yang dilalui turut megajarnya kepentingan membuat keputusan yang bijak dan memikirkan akibat daripada setiap tindakan.
Meskipun kesilapan itu masih menghantui hidup, dia bertekad untuk belajar daripadanya dan berusaha memperbaiki diri.
Menurut Farhana, hubungan dia dan Azizul terlerai pada Januari 2017 selepas lelaki itu mengakui tidak mampu lagi meneruskan hubungan mereka.
Azizul mahu kembali kepada keluarganya dan memperbaiki kesilapan yang berlaku.
“Keputusan itu memang menghancurkan hati.
Sulit untuk melepaskan, namun saya nekad mencari kebahagiaan dengan cara benar dan bermaruah,” ujarnya.
Mengakhiri pertemuan lewat petang itu Farhana sempat menitip pesan, agar setiap anak-anak gadis yang sedang atau berfikir untuk terlibat dalam hubungan terlarang menghindari godaan untuk bercinta dengan suami orang.
Sesungguhnya menjaga pergaulan dan tingkah laku merupakan tuntutan dalam Islam.
Perlakuan tersebut menggambarkan keindahan akhlak dan keluhuran budi yang disanjung tinggi dalam Islam.
Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Oleh itu, setiap muslim hendaklah menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Hal ini tidak terkecuali kepada mana-mana wanita atau lelaki yang keluar rumah untuk menjalankan sebarang urusan seperti bekerja, belajar, berpolitik, berjual-beli dan sebagainya.











