1,698 penumpang feri Langkawi terkandas akibat cuaca buruk - Utusan Malaysia

1,698 penumpang feri Langkawi terkandas akibat cuaca buruk

OMBAK setinggi empat meter menyebabkan tiga trip feri penumpang ke Langkawi dan Kuala Kedah dibatalkan semalam. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Kira-kira 1,698 penumpang feri Langkawi terkandas setelah Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. terpaksa membatalkan tiga perjalanan petang ini ekoran cuaca buruk di laut dengan ombak setinggi empat meter.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, pembatalan itu melibatkan laluan Langkawi ke Kuala Kedah dan sebaliknya.

“Akibat cuaca buruk di laut ketika ini, jumlah penumpang yang masih tidak boleh meneruskan pelayaran dari Langkawi ke Kuala Kedah adalah seramai 808 penumpang. Manakala jumlah penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi adalah 890 penumpang. 

“Perjalanan yang dibatalkan adalah bagi feri pukul 2.30 petang dari Langkawi ke Kuala Kedah; 4.30 petang dari Kuala Kedah, 4.30 petang (Langkawi) dan 6 petang (Langkawi),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, laut bergelora dengan ketinggian ombak lebih kurang empat meter serta kelajuan angin lebih kurang 16 hingga 18 knot boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot-bot kecil. 

“Kami telah menyediakan trip tambahan untuk pilihan kepada penumpang-penumpang yang ingin menaiki trip tambahan laluan ke Pulau Langkawi (PL) – Kuala Perlis (KP) pada hari ini pada pukul 6 petang,” katanya.

Selain itu, katanya, penumpang yang terlibat juga boleh menukar tarikh dan masa perjalanan ke esok atau mendapatkan wang mereka kembali kerana perjalanan dibatalkan ekoran cuaca itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN