PETALING JAYA: Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dibenar membuat permohonan bagi menukar program dan kampus bagi memenuhi minat mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya tidak mengenakan sebarang syarat khusus untuk pelajar melakukan permohonan penukaran tersebut.
Bagaimanapun, menurut beliau, pelajar perlu mendapatkan kelulusan daripada pentadbiran universiti terlebih dahulu sebelum permohonan mereka diluluskan.
“Sekiranya ingin tukar dari program A ke program B, maka dekan yang melepaskan dan pelajar itu perlu bersetuju. Tidak ada peraturan ditetapkan, ia hanya bergantung kepada persetujuan dua pihak itu sahaja.
“Pihak yang menerima akan membuat analisis sama ada pelajar itu sesuai atau tidak berpindah ke program baharu atau sebaliknya.
“Kita kena mengambil kira kemampuan pelajar itu untuk menerus atau menghabiskan pengajian kerana ada sesetengah pelajar ini ‘ghairah’ untuk mengambil program-program yang mereka impikan tetapi keputusan diperoleh tidak meyakinkan pihak pembuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pihak universiti perlu bersikap lebih terbuka dengan membenarkan pelajar menukar subjek atau kursus bagi mengurangkan jumlah mahasiswa gagal menamatkan pengajian mereka.
Ini bagi memastikan semua pelajar dapat berjaya menamatkan pengajian walaupun akan melibatkan pertambahan tugas kepada pihak universiti.
Dr. Mohammad Shatar berkata, setiap bidang yang ditawarkan oleh universiti sudah melalui proses kajian pasaran bagi memastikan graduan dihasilkan itu memenuhi keperluan dan kehendak industri.
Oleh kerana itu, tegasnya, pelajar perlu mempunyai kemahiran insaniah atau soft skills selain daripada cemerlang dalam bidang akademik.
“Kecemerlangan akademik pada hari ni dan pada masa akan datang bukan tiket utama untuk pelajar cemerlang dalam kerjaya kerana setiap majikan ingin melihat kesimbangan antara akademik dan kemahrian-kemahiran lain seperti komunikasi, kerja berpasukan serta lain-lain,” katanya. – UTUSAN










