SUDAH banyak rasanya restoran yang menyediakan menu berasaskan masakan Melayu tradisional asli setakat ini. Namun, bukan mudah mencari menu yang sedap sama seperti ‘air tangan’ ibu sendiri seperti yang ditampilkan oleh Restoran Dulang dan Kopi.
Apatah lagi sekiranya ada yang mencuba mencarinya di tengah-tengah ibu kota dengan kebanyakan tempat makan terdiri daripada kafe dan restoran hipster.
Bagaimanapun, Restoran Dulang dan Kopi yang terletak di Ampang ini mempunyai pelbagai masakan tempatan dengan memenuhi cita rasa ramai. Paling wajib dicuba apabila datang ke sini semestinya daging gulai lemak salai ala Johor.
Kelembutan daging lembu dengan dimasak sempurna tanpa ada rasa pahit memang tidak menghampakan terutama untuk penggemar menu ini.
Apa yang penting, rasa smokey pada setiap gigitan daging masih dikekalkan di samping kuah pekat amat berbaloi untuk menu berharga RM16 ini.

Pengunjung juga boleh mencuba siput sedut masak lemak cili api sekiranya tidak mahu menu berasaskan daging.
Restoran Dulang dan Kopi
Lokasi: No. 10, Jalan Memanda 5, Taman Dato Ahmad Razali, 68000 Ampang, Selangor
Waktu operasi: Pukul 7 pagi hingga 7 malam setiap hari
Menu wajib cuba: Daging gulai lemak salai ala Johor
———————————————————————————————-
Selain itu, bendi goreng telur bilis rangup amat sesuai sebagai gandingan kepada menu salai berkenaan.
Terus terang saya katakan, menu yang digoreng bersama ikan bilis ini tidak berlendir dan tidak terlalu pedas. Malah, kerangupan ikan bilis yang dicampur bersama bendi membuatkan menu ini boleh diratah begitu saja tanpa perlu dimakan bersama nasi.
Untuk pengunjung yang mahu mencuba masakan berasaskan ulam, sambal petai ikan bilis crispy antara yang wajib dicuba.

IKAN pari asam pedas.Menu ini juga tidak begitu pedas dan boleh dimakan sesiapa saja. Apa paling penting, petai yang dihidang juga bersaiz besar dan amat berbaloi pada harga RM10.
Bagi pengunjung yang mahu mencuba menu ayam pula boleh memesan hidangan ayam kampung atau ayam goreng berempah; ayam balado dan ayam masak kicap.
Restoran ini dalam masa sama turut menyediakan hidangan ikan seperti asam pedas ikan pari dan ikan tenggiri; patin tempoyak; keli atau kembung balado dan ikan bawal goreng merecik.
Dalam pada itu, pemilik restoran Suraya Sulatin berkata, terdapat lebih 30 menu masakan Melayu tradisional dengan konsep hidang disediakan khas untuk pengunjung.

Menurutnya, restoran berkenaan mampu memuatkan 50 orang dalam satu-satu masa sekiranya mahu menganjurkan majlis tertentu.
“Kita sudah beroperasi lebih empat bulan lalu dan sambutan setakat ini amat menggalakkan dengan hidangan berkualiti pada harga berpatutuan.
“Sekiranya pengunjung mahu datang pada hujung minggu perlu buat tempahan untuk keselesaan dan memudahkan urusan mereka,” jelasnya. – UTUSAN











