Penternak kambing lega, harimau kumbang ditangkap - Utusan Malaysia

Penternak kambing lega, harimau kumbang ditangkap

HARIMAU kumbang yang ditangkap Perhilitan di Ladang Jalong dekat Sungai Siput semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kebimbangan pengusaha ternakan kambing dengan serangan harimau kumbang di Ladang Jalong dekat sini sejak bulan lalu berakhir apabila haiwan liar itu berjaya ditangkap semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Harimau kumbang jantan dianggarkan seberat 42 kilogram (kg) itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Menurut Ahmad Dani, 41, serangan harimau kumbang itu menyebabkan 15 ekor kambing milik keluarga mertuanya ‘hilang’ dipercayai dibaham haiwan liar itu.

Malah katanya, empat ekor anjing yang dibela untuk menjaga ladang turut mati akibat diserang haiwan berkenaan.

“Sejak pertengahan bulan lalu, banyak kambing yang hilang dan ia disedari selepas ternakan yang dilepaskan untuk meragut rumput itu tidak pulang ke kandang pada sebelah petang.

“Serangan harimau kumbang ini bukan sahaja menyebabkan kami menanggung kerugian lebih RM10,000, malah untuk pergi jauh dari kandang kambing pun tidak berani,” katanya ketika ditemui di Ladang Jalong di sini semalam.

Terdahulu, Ahmad Dani yang bekerja di ladang tersebut menyertai orang ramai dalam operasi memindahkan harimau kumbang oleh Perhilitan Perak.

Berkongsi cerita Ahmad Dani berkata, selain harimau kumbang, dia juga pernah melihat kehadiran dua ekor harimau belang tidak jauh dari lokasi dia memotong rumput.

“Kejadian itu baru sahaja berlaku sekitar pukul 5 petang. Masa itu saya terkejut dan takut tapi mujurlah tiada perkara buruk terjadi.

“Sekarang pun kalau lepaskan kambing untuk meragut rumput, haiwan itu tidak pergi terlalu jauh. Mungkin kambing ini tahu ada haiwan pemangsa yang berada di kawasan sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau kumbang itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang Perhilitan pada 20 Jun lalu.

Katanya, sebanyak dua aduan diterima bulan lalu daripada penduduk berkaitan serangan haiwan liar itu yang dipercayai membahan haiwan ternakan.

“Pada awal bulan lalu, seekor harimau belang berjaya ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap sama. Perangkap itu dibiarkan aktif sebelum kita terima maklumat seekor lagi harimau masuk ke dalamnya pada awal pagi Khamis lalu.

“Harimau kumbang dianggarkan berusia empat tahun yang mengalami kecederaan di muka dan mulut itu akan diberikan rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya,” ujar beliau.

Tambahnya, pemeriksaan juga akan diteruskan di lokasi sekitar selepas pihaknya menerima aduan kehadiran harimau lain di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN