RMK-12: Fokus sektor baharu untuk pemulihan - Utusan Malaysia

RMK-12: Fokus sektor baharu untuk pemulihan

KERAJAAN terus menyokong usaha meningkatkan keyakinan pelabur serta menarik penyertaan sektor swasta dalam pembiayaan projek infrastruktur berskala besar. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memfokuskan sektor baharu termasuk ekonomi digital dengan lebih serius agar Malaysia lebih berdaya saing dan berpeluang menjadi peneraju dalam pelbagai industri terutama yang berasaskan teknologi.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sektor ekonomi baharu dilihat semakin berkembang dan memasukkan sektor itu dalam keutamaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) wajar dititikberatkan.

“Selain mengutamakan sektor kesihatan, kerajaan perlu berpandangan jauh dan memberikan peruntukan kepada sektor digitalisasi negara supaya kita mampu menjadi peneraju dalam teknologi seperti dron, kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT).

“Saya turut melihat keperluan untuk kerajaan memfokuskan kepada pemulihan ekonomi dengan melaksanakan pelbagai projek infrastruktur yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan, ruang perniagaan dan seterusnya meningkatkan produktiviti negara.

“Pada masa sama, sektor agromakanan juga harus diperkasa bagi membolehkan kita kekal mampan tanpa bergantung kepada pihak luar. Keusahawanan juga harus menjadi tonggak kepada negara terutamanya untuk anak-anak muda,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, media melaporkan kerajaan akan memberi keutamaan kepada sektor kesihatan dalam RMK-12 bagi mempercepat usaha negara untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan menerima permohonan sebanyak RM900 bilion secara keseluruhannya namun keutamaan ketika ini adalah untuk mengatasi krisis Covid-19.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Dr. Nurazilah Zainal berkata, peruntukan besar oleh kerajaan dalam memastikan keberkesanan program vaksinasi perlu diiringi langkah proaktif kerana ia menjadi titik permulaan pemulihan ekonomi negara.

“Dalam masa sama, kerajaan perlu bersedia dengan strategi pemulihan dan mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat yang terjejas dengan meningkatkan keberkesanan sistem tadbir urus serta medium penyampaian perkhidmatan pekerjaan dan perburuhan dalam sektor kerajaan dan swasta.

“Selain itu, kerajaan perlu merangka strategi untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada kumpulan sasar tertentu termasuk wanita ibu tunggal. belia, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, orang asal dan lain-lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×