Penalti musnahkan impian KDA raih mata penuh - Utusan Malaysia

Penalti musnahkan impian KDA raih mata penuh

SYAFIQ Ahmad dikawal ketat oleh pemain Kuching City dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penalti yang dianugerahkan kepada Kuching City pada minit akhir permainan memaksa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berputih mata apabila sekadar seri 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Jordan Mintah yang dipertanggungjawab mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang apabila melepaskan rembatan padu ke kanan gawang tanpa dapat diselamatkan Kalamullah Al-Hafiz.

Perlawanan sebelum itu bermula hambar dengan kedua-dua pasukan gagal melakukan percubaan tepat meskipun tuan rumah pertama kali mengenakan jersi baharu yang dilancarkan semalam.

PEMAIN Kuching City meraikan jaringan penyamaan oleh Jordan Mintah bagi mengikat KDA FC 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Hanya pada minit ke-19, barulah gerakan berbahaya dilakukan Sang Kenari melalui hantaran lintang kapten mereka, Sony Norde namun bola gagal disambar Milos Gordic.

Seakan tersentak, pelawat muncul dengan dua serangan bahaya menerusi Shamie Izuan Amin pada minit ke-27 yang melakukan percubaan, namun bola tendangannya terkena badan pertahanan kiri KDA FC, Ariff Farhan ketika Kalamullah sudah tertewas.

Seminit selepas itu, giliran Jordan menggelecek Kalamullah tetapi Ariff Farhan sekali lagi bertindak cemerlang apabila dia berada dalam kedudukan tepat untuk menghalang bola daripada menerjah ke gawang tuan rumah.

Bersambung babak kedua, KDA FC terlebih dulu menguji gawang pelawat namun rembatan dilakukan Sony dari luar kotak penalti pada minit ke-51, berjaya ditangkap kemas Shahril Shaari yang merebahkan badan ke kanan.

Usaha Sang Kenari mendapatkan gol pertama hanya berhasil pada minit ke-60. Hasbullah Abu Bakar bijak meluru pantas untuk menanduk bola hantaran Habib Haroon sekali gus melepasi jangkauan Shahril.

Memasuki minit ke-90, kegembiraan penyokong tuan rumah untuk meraikan kemenangan tidak kesampaian apabila Kuching City memperolehi sepakan penalti setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Tchetche Kipre dikasari pemain pertahanan KDA FC, Irfan Zakaria.

Jaringan penyamaan oleh Jordan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata apabila seri 1-1. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN