PETALING JAYA: Pihak universiti perlu bersikap lebih terbuka dengan membenarkan pelajar menukar subjek atau kursus bagi mengurangkan jumlah mahasiswa gagal menamatkan pengajian mereka.
Pakar pendidikan yang juga Presiden Universiti Antarabangsa Albukhary, Profesor Emeritus Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, langkah itu perlu bagi memastikan semua pelajar dapat berjaya menamatkan pengajian walaupun akan melibatkan pertambahan tugas kepada pihak universiti.
“Universiti perlu lebih terbuka dan menerima hakikat, fokus kita adalah pelajar itu mendapat kepentingan untuk mereka berjaya walaupun perlu membuat kerja lebih.
“Bukan tukar aliran sahaja tetapi perlu juga membenarkan pelajar tukar ke universiti lain yang diminati sekiranya diterima, tetapi situasi itu sukar kerana proses yang membebankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, pada 2020, sejumlah 13,291 atau 2.27 peratus pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak menamatkan pengajian manakala pada 2021 melibatkan 17,613 pelajar atau 2.99 peratus daripada keseluruhan 589,879 pelajar.
Antara punca menyumbang kepada angka tersebut adalah salah memilih kursus dan lewat menyedari kemampuan diri untuk mengikuti program diikuti.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Salleh Amat berkata, tidak wajar untuk meletakkan kesalahan kepada kaunselor dalam membantu pelajar memilih kursus yang tepat untuk mereka.
Katanya, kaunselor sentiasa memberikan input, bimbingan dan nasihat terbaik kepada semua pelajar.
“Saya percaya pihak kaunselor sentiasa berusaha untuk memberikan panduan dan prospek kepada pelajar dalam setiap kursus dipilih.
“Cuma mungkin disebabkan masalah kekurangan tempat di samping permohonanan yang banyak menjadikan pelajar tidak mendapat tempat dan kursus diinginkan,” jelasnya.
Tambah beliau, oleh sebab itu, pelajar dinasihatkan memahami, menyelidik setiap kursus yang dipilih memandangkan mereka diberi 10 pilihan aliran kursus. – UTUSAN











