PONTIAN: Pengusaha Warung Gorgon di Kampung Tanjung Air Hitam di sini resah berikutan tidak dapat menyediakan menu udang galah kepada pelanggan sejak pencemaran air Sungai Tanjung Air Hitam, Ahad lalu.
Ahmad Fuad Yusof, 37, berkata, dia tidak mempunyai bekalan udang galah yang dijual oleh pemancing selepas sungai itu tercemar.
Katanya, ramai pelanggan datang untuk menjamu selera kecewa termasuk dari luar daerah setelah diberi tahu tiada sajian udang galah untuk sementara waktu ini.
“Sehingga kini, saya rugi kira-kira RM2,000 berikutan tiada sajian udang galah sebagai menu wajib dan daya tarikan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Air Hitam di sini.
Menurutnya, dengan larangan pengambilan udang galah di Sungai Tanjung Air Hitam ketika ini sehingga keputusan ujian pencemaran diperoleh, dia akan terus menanggung kerugian lebih besar.
“Warung Gorgon berjaya menggamit pelanggan dari Klang, Gombak, Melaka dan Muar bagi menikmati kelazatan udang galah yang dibeli terus daripada pemancing di jeti berhampiran,” ujarnya.
Katanya, pada hari biasa, warungnya memerlukan bekalan udang galah antara satu hingga tiga kilogram, namun pada Jumaat hingga Ahad, kira-kira 10 kilogram.
“Sejak beroperasi pada tahun ini, Warung Gorgon tidak menghampakan pelanggan kerana bekalan udang galah sentiasa ada,” jelasnya.
Sehubungan itu, dia berharap Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat memberikan keputusan secepat mungkin mengenai punca pencemaran selain pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa udang dan ikan di sungai tersebut selamat untuk dimakan.
“Pengusaha bot dan pemancing juga akan terjejas teruk sekiranya mereka tidak dapat turun ke laut (sungai),” ujarnya. – UTUSAN











