Buruh penjara 16 bulan, curi kereta di stesen minyak

Buruh penjara 16 bulan, curi kereta di stesen minyak

MOHAMAD Shahrul Ezwan Nordin dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret Kuantan, semalam selepas mengaku bersalah atas melarikan sebuah kenderaan di stesen minyak, Jun lalu. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang buruh yang didakwa melarikan kereta jenis Honda City di sebuah stesen minyak Jun lalu, dikenakan hukuman penjara 16 bulan di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohamad Shahrul Ezwan Nordin, 49, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tengku Kamarulzaman. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Shahrul melakukan kesalahan mencuri kereta jenis Honda City milik Norhalina Mohamed di sebuah stesen minyak di Semambu, di sini kira-kira pukul 3.10 petang, 3 Jun lalu. 

Tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, tertuduh yang berpakaian penjara berwarna jingga diwakili peguam Nur Hafidza Baharudin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan tersebut lagi.

Timbalan Pendakwa Raya, Ezuain Farhana Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada tertuduh sebagai satu pencegahan dan memberi pengajaran.

Dengan itu, Tengku Eliana menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan ke atas tertuduh yang kini sedang menjalani hukuman penjara di penjara Bentong atas kesalahan lain. 

MENGAKU BERSALAH

Bagaimanapun, Tengku Eliana turut menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah mencuri telefon bimbit milik seorang wanita di sebuah kedai runcit di Kuala Penor, di sini, kira-kira pukul 6 petang, 3 Jun lalu. 

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa penjara tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, di kamar mahkamah yang berasingan, Mohamad Shahrul turut mengaku bersalah atas dakwaan memiliki motosikal curi jenis Honda EX5 dengan nombor pendaftaran palsu milik Muhammad Tarmizi Abdullah di sebuah stesen minyak kira-kira 3.30 petang pada 3 Jun lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 kerana memilikinya harta curi yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda. Pendakwaan dikendalikan oleh Siti Aisyah Abdul Wahab.

Bagaimanapun, Majistret Raja Nor Shuzianna Shakila Raja Mamat menetapkan 31 Julai ini bagi pendengaran keputusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×