Hari Pahlawan: Sultan Selangor pesan hindari sifat tamak, pentingkan diri - Utusan Malaysia

Hari Pahlawan: Sultan Selangor pesan hindari sifat tamak, pentingkan diri

Pahlawan
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor dekat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor. - Gambar Pejabat Sultan Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri dan tamak dengan mengumpul kekayaan sehingga lalai mempertahankan negara.

Baginda bertitah, sikap sedemikian boleh menyebabkan pentadbiran negara akhirnya mengikut telunjuk musuh.

Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataannya berkata, Sultan Sharafuddin berpesan pahlawan terdahulu mewariskan negara kepada generasi sekarang untuk dijaga dengan sebaiknya.

“Kita hendaklah sentiasa bersedia memelihara dan mengekalkan kemerdekaan negara. Kita sama-sama bertanggungjawab mempertahankan negara daripada diceroboh oleh mana-mana pihak yang berniat menghancurkan negara.

“Maka, jauhkan sikap mementingkan diri sendiri dengan menuruti hawa nafsu yang tamak dengan pengumpulan harta kekayaan sendiri sehingga lalai dalam mempertahankan negara akhirnya negara ditadbir dan dikuasai oleh pihak musuh.

“Hindarilah sikap individualistik yang mengikut nafsu dengki dengan berebut jawatan dan merampas hak orang lain untuk kepuasan diri semata-mata akhirnya leka tentang musuh di depan mata,” katanya.

Tambahnya, Sultan Selangor bertitah demikian sempena Sambutan hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor dan baginda mahu pengorbanan pahlawan yang mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara perlu sentiasa diingat bagi mengelak penjajahan dan pencerobohan berulang.

Dalam pada itu, Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan sama turut memaklumkan baginda bertitah semua pemimpin bertanggungjawab mengekalkan keamanan negara dan menghindari perbuatan provokasi yang memecah belahkan masyarakat.

“Budaya memfitnah, membenci dan menghasut hendaklah dijauhi. Pada masa sekarang, adalah amat penting untuk kita bersama-sama berusaha keras menyemai semangat hormat-menghormati, bertolak-ansur dan saling bekerjasama mengekalkan kedaulatan dan keamanan negara.

“Baginda kecewa kerana ada dalam kalangan kita yang lupa dan tidak ambil peduli nikmat aman dikecapi sekarang adalah hasil jerih dan kepayahan pahlawan yang sanggup berkorban nyawa sehingga ke titisan darah terakhir. Mereka wariskan semangat perjuangan mereka untuk kita semua,” tegasnya.

Katanya lagi, Sultan Sharafuddin menyeru agar seluruh masyarakat tidak lupa menghargai pengorbanan pahlawan kerana sejarah negara dijajah dan dihina akan berulang jika tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kedaulatan dan menyayanginya sepenuh hati.

“Tidak dilupakan pahlawan negara adalah juga dalam kalangan raja-raja melayu, para cendekiawan, para ulama, tuan-tuan guru dan anak-anak murid mereka yang membangkitkan semangat jihad menentang penjajahan.

“Penjajah ketika itu bersikap menzalimi penduduk, menghina agama Islam dan mencuri hasil kekayaan negara. Perjuangan ini adalah jihad yang diiktiraf oleh Islam kerana mempertahankan kedaulatan negara dan menjaga kemuliaan Islam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×