Berhijrahlah dalam menjaga kesihatan gigi

Berhijrahlah dalam menjaga kesihatan gigi

KANAK-KANAK perlu dididik tentang kepentingan menjaga kebersihan gigi supaya dapat menjamin kelestarian dalam kaedah memberus gigi secara berterusan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

USAHA untuk menjaga kesihatan gigi perlu dilakukan secara berterusan bagi mendapatkan kesihatan pergigian yang maksima. Ia juga berkaitan dengan tabiat yang baik dan positif dalam mengekalkan jumlah gigi sihat.

Kesihatan pergigian yang baik dapat memasti dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua lapisan umur dalam masyarakat. Kebersihan dan kesihatan pergigian juga dituntut dalam kalangan mereka yang beragama Islam. Saranan untuk bersugi dengan menggunakan kayu siwak sebelum menunaikan solat adalah sangat digalakkan.

Faktor yang boleh mempengaruhi kebersihan gigi adalah antaranya mendapatkan berus jenis lembut supaya tidak merosakkan leher gigi dan gusi apabila cara pemberusan tidak menepati cara yang betul.

Secara asas, cara memberus yang berkesan dan betul adalah antara perkara yang penting dalam mengenal pasti kemampuan untuk mendapatkan kebersihan dan kesihatan pergigian yang optima.

Manakala, waktu malam atau sebelum tidur mahupun selepas pengambilan makanan yang terakhir pada hari tersebut adalah waktu yang kritikal untuk mengoptimakan kebersihan gigi, gusi dan lidah. Maka pengorbanan perlu dilakukan iaitu tidak mengambil makanan atau minuman yang ditambah dengan manis gula putih sebelum tidur. Tabiat ini perlu disemai supaya menjadi kebiasaan dan semestinya memerlukan perubahan tabiat.

Dalam keadaan tertentu gusi mudah berdarah apabila disentuh berus gigi yang lembut. Tidak perlu panik apabila gusi berdarah sebaliknya cuba semula cara memberus yang berkesan iaitu memberi perhatian ke permukaan gusi dan leher gigi sehingga tiada lagi pendarahan tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya pendarahan berpanjangan dan diikuti dengan gusi yang mengalami kesakitan melampau, lebih baik dapatkan nasihat daripada doktor pergigian.

Cara terbaik untuk menjaga gigi adalah dengan berjumpa doktor pergigian dalam masa enam bulan sekali.

Usaha ini mustahak untuk diperkenalkan dan diterapkan sejak usia kanak-kanak lagi supaya dapat menjamin kelestarian dalam kaedah memberus gigi secara berterusan.-UTUSAN

DR. NOR MALINA MANAN
Fakulti Pergigian, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×