PORT DICKSON: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan mencuri emas di sebuah rumah di Telok Kemang, di sini, minggu lalu.
Tertuduh, M. Kalithosan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa telah mencuri di dalam sebuah rumah, harta benda dari milikan seorang wanita berusia 34 tahun iaitu sebentuk cincin dan dua utas rantai emas.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.15 pagi sehingga 8.23 pagi di Telok Kemang pada 17 Julai lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding berlainan di kamar yang sama, tertuduh bersama dua rakannya yang lain, V. Sathiya Seelan, 38, dan J Julian Rach, 37, turut dituduh memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 6.1 gram.
Bagaimanapun kesemuanya tidak mengaku bersalah bagi perbuatan yang dilakukan kira-kira pukul 7 petang di sebuah bilik penginapan di daerah ini pada 17 Julai lalu.
Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara dari dua hingga lima tahun dan juga tiga hingga sembilan sebatan.
Kedua-dua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, manakala tertuduh diwakili peguam, M. Siveram.-UTUSAN.










