PETALING JAYA: Kes kehilangan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira 12 jam apabila mangsa ditemukan selamat di Triang, Bera, Pahang.
Susulan penemuan itu, seorang lelaki berusia 20-an ditahan di lokasi kejadian, sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, suspek ditahan selepas dipercayai melarikan remaja terbabit.
“OH (Orang Hilang) ditemukan di dalam sebuah rumah milik saudara suspek di Triang, Bera, Pahang.
“Mangsa mendakwa menghadapi masalah keluarga dan suspek telah menjalinkan hubungan intim dengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semakan terhadap suspek mendapati tiada rekod jenayah lampau serta tidak berada di bawah pengaruh dadah.
“Suspek ditahan reman bermula hari ini sehingga Sabtu untuk siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” jelasnya.
Nurul Aishah Farhana Azni, 17, dilaporkan hilang oleh bapanya apabila tidak pulang ke rumahnya di Taman Semarak, Batang Kali dekat sini sejak kelmarin.
Mangsa kali terakhir dilihat di sebuah kedai makan, Sakon Thai dekat Jalan Mahagoni 7/1A, Bandar Utama Batang Kali, di sini. – UTUSAN











