UITM Holdings, BHPetrol kerjasama dalam TBB

UITM Holdings, BHPetrol kerjasama dalam TBB

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah), menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Operasi UiTM Holdings, Mohd Nasrul Khairi (depan, kiri), dan Ir. Azizul Azily Ahmad (depan, kanan) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UITM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) bagi kerjasama strategik dalam usaha memajukan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) di Malaysia. 

Perjanjian tersebut ditandatangani melalui anak syarikatnya, UITM Energy Facilities Sdn. Bhd. (UEFSB)  

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UHSB, Dr. Heazar Ismail berkata, ini merupakan kerjasama yang unik di antara satu syarikat TBB dan sebuah syarikat tenaga konvensional.

“UEFSB berterima kasih kepada BHPetrol kerana memberi peluang untuk mengeksplorasi kerjasama dalam pemasangan dan pemeliharaan sistem fotovoltaik (PV) di atas bumbung stesen-stesen minyak yang dimiliki dan dikendalikan oleh BH Petrol,” katanya ketika majlis menandatangani MoU itu di sini, semalam. 

Beliau berkata, alam sekitar boleh dilindungi dengan menggunakan tenaga solar yang merupakan satu sumber yang boleh diperbaharui. 

“Pada masa yang sama, ia menjimatkan kos dalam jangka masa panjang pengoperasian stesen minyak, di samping memberi tambahan pendapatan kepada BHPetrol sekiranya diusahakan pada skala yang besar.

“Saya yakin dan percaya, dengan pengalaman UiTM Energy yang mengendalikan fasiliti ladang-ladang solar berskala besar dengan kapasiti 90 megawatt (MW) disamping fasiliti solar berbumbung dengan kapasiti 12 MW, ia dapat memberi nilai tambah yang baik kepada kerjasama ini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad berkata, BHPetrol sentiasa komited dan berusaha untuk bergerak selaras dengan agenda nasional.

“Sebagai anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad, BHPetrol merasakan tanggungjawab untuk turut mendukung misi dalam bidang peralihan tenaga dan pembangunan mampan bagi industri peruncitan komersial.

“Oleh itu, kami mengambil inisiatif sebagai langkah permulaan bagi perjalanan transformatif dan tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan penggunaan sistem solar fotovoltaik di 35 stesen BHPetrol yang terpilih di Semenanjung Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata, fasa awal projek itu akan melibatkan pemasangan panel solar di 35 stesen minyak BHPetrol yang terpilih. 

“Setiap pemasangan dijangka mampu menjana 29 megawatt-jam (MWh) tenaga bersih setiap tahun, seterusnya mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 17.4 tan setiap tahun. 

“Pemasangan solar ini juga diharapkan dapat memberi penjimatan kos tenaga yang ketara dan meningkatkan kecekapan operasi stesen minyak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×