SAUDARA PENGARANG,
FATWA merupakan panduan hukum syarak bagi umat Islam. Pada asalnya fatwa tidak bersifat mengikat, namun apabila sesebuah fatwa mula diberikan nilai kuatkuasa undang-undang, ia mengikat semua masyarakat Islam di negeri yang mewartakannya.
Kredibiliti fatwa sama ada yang diwartakan mahupun sebaliknya adalah bergantung kepada kepatuhan terhadap prosedur-prosedur tertentu yang perlu diikuti untuk mengabsahkan sesebuah keputusan tersebut sebagai fatwa.
Di Kelantan, antara prosedur yang ditetapkan untuk memutuskan sesebuah fatwa adalah pengerusi dan dua pertiga daripada ahli-ahli mesyuarat hendaklah menjadi korum untuk menjalankan mesyuarat.
Jika masalah yang dikemukakan dalam sesebuah mesyuarat tidak dapat diselesaikan dengan fatwa, maka Jamaah Ulama (merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kelantan) hendaklah merujuk masalah tersebut kepada majlis yang akan mengeluarkan fatwanya dengan berpandukan kepada pandangan dan pendapat mufti.
Dengan syarat, bahawa dengan sebab-sebab khusus, mana-mana masalah bolehlah disembahkan oleh majlis kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan untuk mendapat penentuan baginda.
Sehubungan itu, sebarang keputusan yang tidak dibuat mengikut ketetapan prosedur sewajarnya tidak boleh dianggap sebagai fatwa.
Kredibiliti fatwa Kelantan dikukuhkan lagi apabila institusi fatwa di Kelantan merupakan sebuah institusi yang bebas daripada tekanan politik kerana ia bernaung secara langsung di bawah naungan Sultan Kelantan menerusi pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan.
Oleh yang demikian, sebarang fatwa yang dikeluarkan adalah sepenuhnya berasaskan kepada penyelidikan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana tekanan.-UTUSAN
AHMAD HAFIZ HAFIFI MOHD ARIF
Pegawai Hal Ehwal Islam di Unit Penyelidikan Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), merangkap Urusetia Jamaah Ulama’ MAIK










