Nama al-Syafie adalah nama yang tidak asing lagi di kalangan kaum muslimin apatah lagi di Malaysia yang rata-rata masyarakat Muslim di Malaysia secara pengamalan fikahnya bermazhab dengan mazhab al-Imam al-Syafie.
Namun ramai dalam kalangan kita yang tidak mengetahui kisah hidup ulama besar ini dan peranan beliau di dalam memahami ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW khususnya yang berkait dengan hukum-hakam.
Al-Syafie bermaksud orang yang dinisbahkan kepada seorang lelaki bernama Syafie. Adapun nama sebenar imam agung ini ialah Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Uthman bin al-Syafie bin al-Sa-ib bin ‘Ubayd bin ‘Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttolib bin ‘Abdu Manaf bin Qusoyy bin Kilab bin Murroh bin Ka’b bin Lu-ayy bin Gholib bin Fihr bin Malik bin al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaymah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhor bin Nizar bin Ma’add bin ‘Adnan.
Menerusi salasilah nasab ini dapat diketahui punca sang imam dipanggil dengan panggilan al-Syafie kerana moyang beliau yang kedua adalah al-Syafie bin al-Sa-ib.
Salasilah ini juga menunjukkan nasab al-Imam al-Syafie bertemu dengan nasab mulia Rasulullah SAW pada moyang baginda yang kedua iaitu Saidina ‘Abdu Manaf bin Qusoyy. Maka jelaslah bahawa al-Imam al-Syafie adalah daripada suku Quraisy yang ternama yang merupakan zuriat Nabi Allah Ismail bin Nabi Allah Ibrahim.
KELAHIRAN SANG IMAM YANG AGUNG
Para sejarawan menyatakan bahawa al-Imam al-Syafie lahir pada tahun 150 Hijrah di Gaza, Palestin. Pada tahun 150 Hijrah jugalah al-Imam Abu Hanifah pendiri mazhab Hanafi telah wafat.
Tahun 150 Hijriah adalah tahun yang istimewa kerana pada tahun itu, seorang ulama besar wafat. Dalam masa yang sama seorang bayi yang bakal menjadi ulama terbilang telah lahir di dunia.
Selepas tinggal di Gaza selama dua tahun, al-Imam al-Syafie dibawa ke kota Mekah lalu beliau tinggal dan membesar di sana. Ada juga sejarawan yang berpendapat Imam al-Syafie dilahirkan di Yaman.
KEFAKIRAN TIDAK PATAHKAN SEMANGAT
Pada usia kecilnya, al-Imam al-Syafie yang sudah kematian ayahnya hidup dalam satu keluarga yang fakir. Beliau pernah dihantar oleh keluarganya untuk belajar al-Quran di kota Mekah namun keluarga beliau tidak mampu membayar yuran yang dikenakan oleh sang guru.
Sewaktu meningkat usia setelah selesai menghafal al-Quran, al-Imam al-Syafie yang amat memberi tumpuan kepada majlis-majlis ilmu di kota Mekah tidak mampu membeli kertas kosong untuk mencatat mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan oleh para guru.
Namun ini tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mendalami ilmu pengetahuan. Lalu beliau mencari tulang-tulang binatang dan kertas-kertas terpakai yang sudah ditulis untuk digunakan bagi mencatat dan menulis fakta-fakta ilmu yang disampaikan oleh para ulama Mekah ketika itu sehingga rumahnyapenuh dengan tulang-belulang.
KECERDIKAN YANG LUAR BIASA
Kota Mekah telah menyaksikan sang imam saat mudanya telah bersimpuh menuntut ilmu daripada para ulama besar ketika itu seperti al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah dan al-Imam Muslim bin Kholid al-Zinjiyy.
Beliau menunjukkan kecerdikan luar biasanya apabila berjaya menghafaz seluruh al-Quran ketika baru berusia tujuh tahun. Beliau berjaya menghafaz seluruh hadis Nabi SAW yang ditulis di dalam kitab al-Muwatta semasa berusia 10 tahun. Jumlah hadis yang ada dalam al-Muwatta karangan al-Imam Malik bin Anas adalah 1,859 hadis.
Ketika al-Imam al-Syafie berusia 15 tahun, beliau diizinkan oleh al-Imam Muslim bin Khalid al-Zinjiyy mengeluarkan fatwa kepada persoalan orang ramai sedangkan beliau baru sahaja berusia 15 tahun.
Ini adalah satu pengiktirafan yang besar daripada al-Imam Muslim bin Khalid al-Zinjiyy akan kelayakan al-Imam al-Syafie sejak kecil lagi dalam bidang ilmu fikah.
BERITA GEMBIRA DARIPADA RASULULLAH SAW
Al-Imam Abu Daud al-Toyalisiyy di dalam kitab Musnad beliau meriwayatkan bahawa Saidina Abdullah bin Mas’ud r.a berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu semua mencaci (keturunan) Quraisy kerana sesungguhnya seorang alim daripada mereka akan memenuhi bumi dengan ilmu.
Menurut para ulama, setelah dilihat sejarah tokoh-tokoh ilmu berketurunan Quraisy, tokoh paling berilmu dan yang paling berpengaruh daripada keturunan Quraisy adalah al-Imam al-Syafie.
Beberapa hari sebelum kewafatan al-Imam al-Syafie, murid beliau iaitu al-Imam Robi’ al-Murodiyy mengalami mimpi aneh. Beliau bermimpi melihat Nabi Allah Adam a.s telah wafat.
Setelah terjaga dari lenanya, al-Imam Robi’ al-Murodiyy telah merujuk sebahagian para ulama yang memiliki kelebihan dapat menafsir mimpi.
Lalu ulama yang dirujuk oleh al-Imam al-Robi’ al-Murodiyy menyatakan itu adalah petanda seorang yang paling alim ketika itu akan meninggal dunia kerana Nabi Adam adalah simbol kepada keluasan ilmu.
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dia (iaitu Allah SWT) telah mengajar (Nabi) Adam akan nama-nama seluruhnya. (al-Baqarah: 31)
Tidak lama selepas mimpi itu, al-Imam al-Syafie wafat lantas menunjukkan satu isyarat bahawa beliau adalah ulama yang paling alim pada ketika itu.
MURID HEBAT PETANDA GURU YANG HEBAT
Para sejarawan merekodkan sejumlah nama besar yang menjadi murid kepada al-Imam al-Syafie.
Antara mereka ialah al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Hasan bin Muhammad bin al-Sobbah al-Za’faroniyy, al-Husayn al-Karobisiyy, Ibrahim bin Kholid al-Kalbiyy yang turut juga dikenali dengan panggilan Abu Thawr, Ismail bin Yahya al-Muzaniyy, al-Robi’ bin Sulayman al-Murodiyy, al-Robi’ bin Sulayman al-Jiziyy, Yusuf bin Yahya al-Buwaytiyy, Harmalah bin Yahya al-Tujibiyy dan Yunuf bin ‘Abd al-A’la.
KEWAFATAN AL-IMAM AL-SYAFIE
Setelah al-Imam al-Syafie berkelana panjang dari Mekah ke Madinah seterusnya bergerak ke Baghdad, pulang semula ke Mekah, seterusnya ke Baghdad lalu akhirnya bergerak ke Mesir hanya untuk mempelajari dan menyebarkan ilmu pengetahuan, Allah SWT telah menjemput beliau pulang ke hadhrat-Nya.
Beliau wafat pada malam Jumaat selepas menunaikan solat Isyak dalam usia 54 tahun. Malam tersebut adalah malam yang terakhir bulan Rejab tahun 204 Hijriah. Al-Imam al-Robi’ al-Murodiyy berkata: “Kami telah pulang dari pengebumian al-Syafie -Allah telah merahmati beliau- lalu kami telah melihat anak bulan Syaaban”.
Sekalipun beliau telah meninggalkan kita lebih 1,200 tahun lalu, namun ilmu dan haruman nama beliau terus mekar dan akan terus hidup di hati umat Islam seluruhnya. Al-Fatihah buat beliau.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










