PORT DICKSON: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 di Seremban yang merupakan antara projek terbesar di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di Negeri Sembilan dijangka siap sepenuhnya menjelang bulanMac 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar berkata, projek bernilai RM228 juta itu telah lebih 70 peratus siap iaitu melibatkan kerja-kerja struktur.
“Apabila beroperasi kelak, LRA goi Ngoi Fasa 2 ini akan membekalkan 150 juta liter air kepada lebih 78,000 akaun di kawasan Seremban, Nilai dan Sendayan.
“Sekarang berbaki 30 peratus lagi belum siap iaitu kerja-kerja mekanikal, sivil dan perpaipan. Kita yakin loji rawatan ini akan siap sepenuhnya pada Mac 2025,” katanya ketika ditemui pada Program Kempen Masjid Hijau PAAB 2024 di Masjid Kariah Kampung Jimah Lama di sini hari ini.
Menurut Zulkiflee, kerjasama PAAB dan kerajaan Negeri Sembilan menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) telah terjalin sejak 2008 lagi yang mana negeri ini antara terawal memuktamadkan perjanjian pelan penstrukturan semula industri bekalan air bersama PAAB.
“Di Negeri Sembilan, nilai projek PAAB yang sedang dalam pembinaan ketika ini berjumlah RM372 juta termasuk projek membaik pulih dan menaik taraf LRA Pantai dan LRA Sungai Linggi.
“Secara keseluruhannya, sehingga Jun lalu, PAAB telah menyiapkan projek-projek di Negeri Sembilan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM512 juta di bawah Skim Pembiayaan PAAB,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkiflee berkata, masalah air tidak terhasil (NRW) iaitu bekalan air terawat yang tidak sampai kepada pengguna berlaku disebakan beberapa faktor seperti paip pecah selain kecurian air dan meter tidak tepat.
“Berdasarkan rekod Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), sepanjang 39,000 kilometer paip sistem agihan di Semenanjung Malaysia adalah daripada jenis AC (simen asbestos) yang dipasang antara 30 hingga 50 tahun lalu.
“Ini menyebabkan kadar NRW yang tinggi disebabkan kebocoran paip penghubung yang uzur dan paip lama terutama jenis AC yang digunakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan PAAB untuk menurunkan kadar NRW melalui projek penggantian paip lama termasuk di Negeri Sembilan.
“PAAB telah menggantikan paip lama sepanjang 257.32 kilometer di negeri ini dengan nilai RM74.49 juta di bawah pembiayaan PAAB melibatkan kawasan Gemencheh, Seremban, Port Dickson, Jelebu, Tampin, Gemas, Rembau, Jempol, Kuala Pilah dan Senawang.
“Melalui skim pembiayaan jangka pendek NRW, PAAB juga telah meluluskan sebanyak RM24.35 juta bagi kerja-kerja penggantian meter, pembelian peralatan pengesanan kebocoran, pembaikan ‘fittings’, kerja pengurusan tekanan, pembangunan siatem pemantauan dan sebagainya,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi Program Kempen Masjid Hijau, PAAB telah memperuntukkan sebanyak RM12,500 kepada Masjid Kariah Kampung Jimah Lama di sini termasuk sumbangan wang tunai RM5,000.
Jelas Zulkiflee, ia melibatkan pemasangan pili cekap air, sistem pengumpulan air hujan (SPAH) dan pemasangan sistem agihan dan tekanan yang melibatkan keseluruhan peruntukan RM12,500.-UTUSAN.











