Suri rumah mengaku tidak bersalah kurung anak tiri

Suri rumah mengaku tidak bersalah kurung anak tiri

NOR Hidayah Che Awang, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dua pertuduhan menganiaya anak tiri dengan mengurung mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menganiaya anak tiri dengan mengurung mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di Kok Lanas, dua minggu lalu.

Nor Hidayah Che Awang, 37, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Zulkifli Abllah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan.

Wanita itu didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, iaitu anak tirinya sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala, badan dan muka mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Taman Yik Perdana, Kok Lanas dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari hingga pukul 6.15 pagi dari 10 hingga 12 Julai lalu.

Nor Hidayah didakwa mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak mencadangkan jaminan kerana kes tersebut serius sehingga menyebabkan mangsa yang merupakan anak tirinya trauma.

Ahmad Adha memohon ikat jamin paling minimum memandangkan anak guamnya merupakan seorang suri rumah dan menjaga ibu yang menghidap penyakit angin ahmar.

“Anak guam saya juga baru berkahwin dengan bapa kanak-kanak itu setahun lalu. Difahamkan suaminya juga sudah tidak pulang ketika ini.

“Tertuduh juga berjanji untuk mematuhi segala peraturan dan tidak akan mengganggu saksi-saksi kejadian,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×