KOTA BHARU: Masalah penglihatan yang dialami sejak lahir tidak menghalang seorang pelajar kategori berkeperluan khas meraih keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.0 pada pemeriksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan hari ini meskipun terpaksa belajar dan mengulang kaji pelajaran menggunakan kanta.
Kegigihan dan semangat juang tinggi yang ditonjolkan oleh Noor Haslin Rosidi Sabri, 20, membolehkan dia memperoleh keputusan A- bagi mata pelajaran Syariah, Bahasa Melayu (B-), Usuluddin (B+) dan Pengajian Am (C+).
“Setiap hari saya akan meluangkan masa sehingga tiga jam untuk mengulangkaji pelajaran di rumah. Sepanjang tempoh itu (mengulangkaji), saya bergantung sepenuhnya kepada kanta untuk membaca dan mengulangkaji.
“Paling perit untuk saya harungi, mata akan sakit dan berair selepas menghadap buku selama 30 minit,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini hari ini.
Noor Haslin memberitahu, kekurangan itu menyebabkan dia tidak menyangka mampu meraih keputusan cemerlang dalam STPM 2023.
Katanya, hal ini kerana dia dilahirkan tanpa iris atau mata hitam sekali gus membataskan peluang untuk belajar seperti rakan-rakan normal yang lain.
“Saya hanya jangka mendapat keputusan PNGK 2 dan ke atas, namun semua itu keajaiban Allah apabila cemerlang dalam STPM selepas berusaha sehabis daya.
“Selain itu, rakan sekolah dan guru banyak membantunya sepanjang berada di tingkatan enam selama dua tahun,” ujarnya.
Noor Haslin berkata, selepas ini dia berhasrat menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) atau Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam bidang pendidikan.
Sementara itu Pengetua SMKA Naim Lilbanat Mustaffa Chik menzahirkan ucapan tahniah kepada Noor Haslin dan pelajar lain yang cemerlang dalam STPM 2023.-UTUSAN











