IPOH: Seramai 3,012 atau 98.21 peratus daripada 3,129 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 di negeri ini berjaya lulus penuh dalam peperiksaan itu tahun lalu.
Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mohamad Fauzi Mahson berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 0.08 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menyaksikan 3,357 atau 98.13 peratus daripada pelajar mendapat lulus penuh.
Katanya, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang direkodkan di negeri ini juga menunjukkan peningkatan 0.08 peratus daripada 2.83 pada tahun 2023 berbanding 2.75 tahun sebelumnya.
“Daripada keseluruhan 3,129 calon pada tahun lalu, seramai 82 orang berjaya memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0.
“Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tahun 2022 iaitu seramai 108 orang,” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sini hari ini.
Menurut Mohamad Fauzi, sebanyak 35 buah sekolah mencatatkan pencapaian lulus 100 peratus iaitu peningkatan lima buah sekolah berbanding tahun lalu.
Katanya, secara keseluruhan, 38 calon atau 1.24 peratus mendapat kelulusan penuh (5P), 2,243 atau 73.13 peratus (4P), 409 atau 13.34 peratus (3P), 216 atau 7.04 peratus (2P) dan 106 atau 3.46 peratus (1P).
“Daripada 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM tahun lalu, sebanyak 14 mata pelajaran mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2022.
“Peningkatkan itu termasuk bagi mata pelajaran Pengajian Am iaitu 0.45 peratusl, Bahasa Malaysia (0.67), Bahasa Tamil (4.14), Syariah (0.50), Sejarah (1.19), Geografi (8.17), Ekonomi (4.04) dan Matematik Tambahan (5.96),” ujarnya.
Tambah beliau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek mempamerkan prestasi cemerlang dengan merekodkan 11 calon memperoleh PNGK 4.0 diikuti SMK King Edward VII dengan lapan calon dan SMK St. George pula lima calon. – UTUSAN










