HULU TERENGGANU: Seorang bapa tiga anak di Kampung Kemat, dekat sini, hilang upaya dan kini hanya terlantar selepas `digilis’ batang kayu lebih sebulan lalu.
Muhammad Itmam Zawahir, 34, yang sebelum ini bekerja dalam bidang pendawaian elektrik kini terpaksa guna lampin pakai buang dan bergantung kepada isteri, Siti Nur Fatin Mazlan, 33.
Menurutnya, insiden pada 1 Jun lalu ketia dia membelah batang pokok bagi dijadikan turus pagar di kebun neneknya.
“Kejadian berlaku sekelip mata. Melihat batang pokok yang dibelah terbalik dan bergolek, saya lari menuruni tebing di kawasan itu.
“Tidak sangka, saya jatuh tertiarap sehingga batang pokok bergolek lalu atas tubuh badan seolah-olah menggilis sehinggakan saya tidak mampu bangun selepas itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Kata Muhammad Itmam, kejadian itu menyebabkan dia patah kedua-dua tulang pinggul dengan tulang pinggul sebelah kiri tercabut.
“Saya ada harapan untuk kembali berdiri dan berjalan semula namun mengambil masa bertahun-tahun.
“Buat waktu ini, segala perbelanjaan harian serta tiga anak yang berusia satu hingga 10 tahun hanya bergantung sumbangan ahli keluarga, penduduk kampung dan beberapa pihak yang datang melawat,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Nur Fatin iaitu suri rumah sepenuh masa berkata, perbelanjaan keperluan suami terutamanya lampin pakai buang, tisu basah serta susu khas setakat ini sudah menjangkau hampir RM1,500 sebulan.
“Sebelum ini, kami sekeluarga hanya bergantung sepenuhnya pada pendapatan suami dan sekarang telah kehilangan semua itu. Saya memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tapi dalam proses.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh salurkan sumbangan ke akaun Siti Nur Fatin Mazlan, 1150041100093332 (Bank Simpanan Nasional) atau hubungi talian 019-6449515. – UTUSAN











