PETALING JAYA: Seorang daripada 81 pelajar Malaysia yang ‘terperangkap’ di Dhaka, Bangladesh menggambarkan rusuhan di negara itu `kritikal’ kerana perusuh mengancam untuk mencederakan pelajar lain termasuk menyimbah asid.
Antara institusi yang mempunyai pelajar Malaysia ialah Dhaka Dental College (DDC) dan Dhaka Medical College (DMC) di Dhaka; Mymensingh Medical College (MMC) dan Bangladesh Agriculture University (BAU) di Mymensingh; Chittagong Medical College (CMC), Chittagong dan Sylhet MAG Osmani Medical College, Sylhett.
Institusi pengajian tinggi yang terletak di Dhaka dan Mymensingh adalah paling kritikal berbanding di Chittagong dan Sylhett. Ini kerana institusi tersebut jauh dari tempat rusuhan di Dhaka.
Seorang pelajar tahun empat MMC yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, 23, berkata, situasi di pusat bandar Dhaka semakin buruk yang menyebabkan keselamatan mereka kritikal akibat terdapat penceroboh masuk ke kawasan universiti.
Katanya, pelajar-pelajar di situ termasuk penuntut Malaysia menerima pelbagai ancaman untuk dicederakan seperti diugut disimbah asid.
“Sekatan perkhidmatan internet pada Jumaat lalu di Bangladesh menyebabkan mereka kini hampir terputus hubungan dengan dunia. Jika sudah terputus hubungan dengan ahli keluarga, nasib mereka tidak diketahui lagi,” katanya yang berasal dari Kelantan.
Ahmad Wafiq berkata, terdapat seorang pelajar perempuan Malaysia yang sudah membeli tiket untuk pulang tetapi terkandas akibat bas yang dinaikinya diserang perusuh.
Katanya, rusuhan yang membabitkan ribuan pelajar dan pihak berkuasa Bangladesh tidak kelihatan untuk pulih malah semakin tegang.
Menurutnya, dalam tempoh empat hari hari lalu, mereka dapat melihat dengan mata sendiri kumpulan perusuh membawa kayu, senjata tajam dan agresif.
Dalam pada itu, seorang wakil pelajar MMC yang tidak mahu dikenali menyarankan supaya pulang ke tanah air sebagai solusi keselamatan kepada pelajar-pelajar di sana.
“Mereka tidak dapat diberi jaminan keselamatan kepada pelajar yang tetap tinggal di Bangladesh kerana tiada tempat dan fasiliti yang mencukupi di pesuruhjaya tinggi sekiranya pelajar memerlukan tempat perlindungan.
“Kami meminta supaya ada jaminan keselamatan dari Mymensingh ke Lapangan Terbang Dhaka Airport kerana perjalanan mengambil masa empat jam dan dikhuatiri terdapat rusuhan,” katanya.
Protes yang bermula minggu lalu menyaksikan penunjuk perasaan membabitkan golongan pelajar diserang oleh aktivis Liga Chhatra Bangladesh (BCL) iaitu sayap pelajar Parti Liga Awami pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
Negara dengan lebih 170 juta penduduk itu dilanda keganasan selepas beberapa hari protes dan pertempuran berlaku antara pelajar dan anggota pasukan keselamatan apabila tercetus kemarahan dalam kalangan pelajar yang menghadapi isu pengangguran dengan hampir 32 juta anak muda Bangladesh tidak bekerja atau belajar.
Penunjuk perasaan terdiri daripada golongan pelajar yang marah dengan dasar kuota kerja memperuntukkan 30 peratus pekerjaan untuk ahli keluarga veteran dari perang kemerdekaan 1971 dari Pakistan, yang menurut pengkritik disalahgunakan.
Daripada pertempuran ini hampir 100 orang dilaporkan terbunuh setakat ini dalam protes itu.
Oleh itu, Kerajaan akan membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi, sudah memberi ‘lampu hijau’ supaya pelan evakuasi digerakkan segera.
“Seperti mana kita tahu situasi keselamatan di sana tidak berapa baik dan penilaian kita buat ketika ini dan kita men capai kata putus bahawa pelan evakuasi perlu digerakkan.
“Kita akan bawa balik pelajar kita di Bangladesh dan juga warga Malaysia yang kerja di sana serta kaum keluarga petugas di kedutaan kita,” katanya. – UTUSAN







