UTM, Waqaf An-Nur bekerjasama lahir usahawan madu kelulut - Utusan Malaysia

UTM, Waqaf An-Nur bekerjasama lahir usahawan madu kelulut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan Tapak Waqaf Bee Park bagi melahirkan lebih ramai pengusaha madu kelulut secara kecil-kecilan menerusi Projek Perladangan Kelulut Moden menggunakan Teknologi Bee-Modular Box.

Timbalan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias berkata, projek itu dijayakan dengan kerjasama Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur), sekali gus selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggalakkan universiti awam (UA) turun padang dan berkongsi ilmu dengan komuniti setempat.

“Projek ini berlandaskan prinsip tanggungjawab sosial dengan penekanan terhadap sains, teknologi, inovasi dan ekonomi bertujuan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

“Kumpulan sasar akan diberi didikan menerusi bengkel dan kerja lapangan bagi melahirkan usahawan perladangan kelulut moden yang berdaya saing. Matlamat utama adalah membolehkan peserta menjana pendapatan secara lestari dan berterusan,” katanya pada Majlis Perasmian Tapak Waqaf Bee Park di UTM, di sini hari ini yang  turut dihadiri Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur, Bukhari Abd. Rahman.

Rosli berkata, program itu melibatkan seramai 30 peserta terdiri daripada 25 penuntut dan lima kakitangan UTM dalam kategori B40.

“Sebanyak 100 kekotak ‘Bee Modular’ akan diserahkan kepada peserta terlibat melibatkan peruntukan sebanyak RM350,000 menerusi Geran Penyelidikan Waqaf An-Nur,” katanya.

Sementara itu, Bukhari  memberitahu, kerjasama pihaknya dengan UTM  merupakan salah satu usaha  menyantuni dan membantu golongan yang layak menerima manfaat.

“Inisiatif ini selari dengan misi kami untuk memperkasakN ekonomi masyarakat menggunakan pendekatan inovasi, pembangunan bisnes dan pengurusan sumber aset secara strategik,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×