Belajar daripada kesilapan - Shukri Yahaya enggan ulangi kontroversi babak ‘bilik mandi’ - Utusan Malaysia

Belajar daripada kesilapan – Shukri Yahaya enggan ulangi kontroversi babak ‘bilik mandi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shukri Yahaya, 36, secara tegas menolak untuk melakonkan babak intim dalam mana-mana filem atau drama yang dijayakannya.

Enggan pisang berbuah dua kali, Shukri atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Yahaya berkata enggan kontroversi lampau berulang justeru akan lebih berhati-hati dalam menyaring babak yang akan dijayakannya.

“Kalau boleh saya mahu elakkan. Saya belajar daripada kesilapan. Memang saya menyesal kerana tak berfikir dengan semasak-masaknya sebelum ini.

“Sebenarnya kontroversi yang berlaku menerusi drama Layang-Layang Perkahwinan sebelum ini tidak menjejaskan kerjaya saya. Tetapi saya tidak nafikan ia memberi impak kepada audiens saya.

Sampai sekarang ada penonton yang nasihatkan agar saya belajar dari kesilapan. Jadi memang silap saya dan saya tak akan ulang kesalahan sama,” kongsinya pada sesi bersama media untuk drama terbarunya, Hai Cinta Dengarkanlah.

Pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu sebelum ini menuai kecaman gara-gara babak ‘bilik air’ yang dilakonkannya menerusi drama Layang-Layang Perkahwinan.

Bercakap tentang drama terbarunya itu, Shukri memaklumkan kali ini memilih untuk muncul dalam drama bersifat ringan yang berbeza dengan naskhah yang dilakonkannya sebelum ini.

Kata bapa dua cahaya mata ini, dia ingin memberi kelainan agar tidak dilabel pelakon stereotaip yang sering terkait dengan watak yang sama.

“Watak saya dalam drama ini sangat berbeza, seorang juruterbang yang bersikap periang. Selain mahu lari sekejap daripada drama berat, saya terima tawaran berlakon drama ini disebabkan barisan pelakonnya.

“Saya tidaklah penat lakonkan drama yang berat, cumanya saya mahu beri kepelbagaian dalam lakonan saya.

“Kalau boleh saya tak mahu penonton bosan dengan lakonan saya di kemudian hari,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×