Dialek Pulau Tawar warisan pertuturan pahlawan Melayu Pahang

Dialek Pulau Tawar warisan pertuturan pahlawan Melayu Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGIAT tata bahasa Melayu, Siti Hajar Abdul Aziz menyatakan ‘dialek’ berasal daripada perkataan Greek, iaitu dialektos yang merujuk kepada kepelbagaian ciri bahasa yang dituturkan oleh sekumpulan pengguna atau penutur sesuatu bahasa.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:348) pula, dialek membawa maksud satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial yang memiliki perbezaan daripada bahasa standard.

Seperti Sabah dan Sarawak yang mempunyai banyak subdialek berasaskan jumlah etnik yang ramai, Pahang juga antara negeri dikatakan mempunyai 49 subdialek dituturkan sebagai bahasa ‘kolokial’ oleh penduduk bermula di Ulu Jelai (Lipis), Ulu Tembeling (Jerantut), Temerloh, Maran hingga ke Pekan.

Tokoh bahasa dan persuratan Melayu Jerantut, Norzari Yahya menjelaskan, bentuk jeda dan intonasi penutur setiap daerah di Pahang dikaitkan dengan arus Sungai Jelai, Sungai Tembeling dan Sungai Pahang.

Menurut Norzari, kebiasaan di kawasan ulu sungai itu, arus aliran air lebih laju dan deras bermakna penutur kalangan penduduk di Ulu Jelai dan Ulu Tembeling lebih laju sebutan dialek berbanding kedudukan daerah di pertengahan Sungai Pahang agak sederhana malahan kelazimannya apabila berdekatan muara (kawasan Maran, Pekan, Rompin) pertuturan lebih lambat dan jelas.

“Ketika membuat kajian bahasa di kawasan perkampungan Ulu Tembeling beberapa tahun lalu, cara pertuturan penduduk di situ sangat laju seperti aliran air Sungai Tembeling berlanggar atau menuruni batu dan jeram dan bagi kalangan orang luar sudah tentu tidak faham dan jelas dengan sebutan berkenaan,” katanya.

Norzari berkata, di perkampungan Pulau Tawar, dialek penduduk Melayu di situ masih laju bagi beberapa perkataan malahan seakan-akan jeda iaitu ‘menekan’ serta pantas apabila menyebut perkataan dan juga sukar difahami kalangan orang luar.

Katanya, dialek Pulau Tawar juga dikatakan sinonim digunakan oleh Pahlawan Melayu Mat Kilau dan Tok Gajah serta masyarakat Melayu di Kampung Kedondong, Pulau Tawar antara tempat yang mula tercetus bibit perjuangan menentang penjajah British pada abad ke-19.

Pencinta bahasa Melayu dialek Pulau Tawar, Mohd. Razali Mulud berkata, lebih 1,000 varian perkataan atau dialek Pulau Tawar yang berbeza dengan tempat lain di Pahang.

Dialek Pulau Tawar digunakan lebih 300 tahun lalu juga sebagai bahasa dituturkan oleh Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dan bapanya, Imam Perang Rasu Shahrum atau Tok Gajah sejak tokoh tersebut dilahirkan dan bermastautin di Kampung Kedondong pada abad ke-19 lalu.

Dia yang juga ahli Persatuan Pencinta Loghat Daerah Pahang memberikan contoh bahawa ‘pudong’ perkataan dari Pulau Tawar bermaksud berpaut pada sesuatu seperti akar, pokok rumput, tebing untuk naik ke atas, manakala ‘kopok’ maksudnya, memberikan kata-kata semangat, motivasi supaya pelaku lebih yakin atas sokongan sekeliling malahan kadang-kadang kopok juga bermaksud menghasut melakukan kejahatan.

Mengambil contoh yang lain, Mohd. Razali memberitahu perkataan ‘cemak’ bermaksud luka yang mengeluarkan darah yang banyak dan parah disebabkan kemalangan.
Jelasnya lagi, dialek Pulau Tawar yang masih dituturkan sehingga ini, iaitu seperti kas, keh (saya, kawan), demeh (mereka), kabo (beritahu), matnyer (kenapa), sokmo (selalu), maleh (malas), kohok (letih), bele (baiki), lece (tilam), senyor (kebas), keri (meluap-luap), jaber (bekas plastik) dan sebagainya.

“Inilah unik bahasa Pulau Tawar dan ada sebilangan perkataan sama dituturkan oleh penduduk daerah lain negeri ini yang tinggal di pesisir Sungai Pahang dan persamaan ini berpunca hubungan persaudaraan, perkahwinan dan aktiviti perniagaan yang menggunakan laluan sungai sebelum abad ke-19,” terangnya.

Oleh kerana cintanya terhadap dialek Pulau Tawar, Mohd. Razali sanggup menulis perkataan kolokial Pulau Tawar yang dipampangkan di hadapan kedai kopinya berdekatan Kampung

Kedondong, tempat kelahiran Pahlawan Melayu Mat Kilau untuk tatapan pelanggan atau pengunjung yang singgah di situ.
“Inilah antara contoh bahasa lama Pulau Tawar dan dianggarkan lebih 1,000 dialek atau kolokial tempatan (kampung Pulau Tawar) kian pupus sekiranya tidak dituturkan semula sebagai bahasa malar segar dalam perbualan harian,” katanya.

Dia juga bimbang pengaruh bahasa slanga, Facebook, Tiktok dan laman sosial lain yang menjadi sebutan ‘di mulut’ serta tulisan generasi hari ini akan melenyapkan terus dialek Pulau Tawar dan Pahang amnya pada masa akan datang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×