FENOMENA kurangnya hubungan intim suami isteri atau kecenderungan menangguhkan pernikahan dan memiliki anak semakin menjadi perhatian di beberapa negara di Asia Timur termasuk Thailand, Jepun, Korea Selatan dan China.
Ini membawa kesan signifikan terhadap populasi negara-negara tersebut, dengan penurunan jumlah kelahiran yang memberi kesan kepada jumlah populasi.
Satu tinjauan yang dilakukan oleh National Institute of Development Administration (NIDA) pada September tahun lalu, menunjukkan 44 peratus responden kurang berminat memiliki anak.
Alasan utama yang diberitahu adalah kos penjagaan anak yang tinggi serta ketidakinginan untuk terbeban dengan kewajipan mengasuh anak.

Bahkan, beberapa pasangan lebih memilih membela kucing sebagai pengganti anak.
Penganalisis berpandangan apabila negara menjadi semakin kaya, kos membesarkan anak juga meningkat.
Penasihat Kanan Ekonomi dan Demografi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) berkata, golongan wanita perlu mempertimbangkan beberapa aspek apabila mempunyai anak, kehidupan, keluarga, pekerjaan, pendapatan dan kos membesarkan anak.
“Jika sistem atau ekonomi tidak memberikan peluang yang sama kepada wanita, mereka mungkin terpaksa berfikir dua kali untuk mempunyai anak,” katanya.
JEPUN
Di Jepun, pihak pemerintah berupaya mengatasi masalah itu melalui inovasi teknologi.
Pemerintah Tokyo merancang untuk melancarkan aplikasi dating yang memerlukan pengguna menyerahkan dokumen-dokumen yang sah di sisi undang-undang mengenai status diri dan menandatangani surat pengakuan kesediaan untuk bernikah.
Aplikasi ini yang diuji cuba secara percuma sejak akhir tahun lalu, mewajibkan pengguna untuk menyatakan gaji dengan menyertakan bukti gaji tahunan.
Langkah itu dibuat selepas angka kelahiran semakin merosot di Jepun. Pengguna perlu mengisytiharkan pendapatan di aplikasi itu, dan trend itu sudah menjadi kelaziman di negara matahari terbit.
Beberapa kajian mencadangkan kehidupan seks dan gaya hidup juga berubah.
Sebagai contoh, di Jepun, orang ramai mempunyai ‘ciuman pertama’ mereka pada usia antara 18 atau 19 tahun, dan menjalinkan hubungan serius selepas itu.
KOREA SELATAN
Negara ini diancam kekurangan penduduk dengan angka kelahiran terendah di dunia.
Tahun lalu, Seoul merekodkan angka kelahiran keseluruhan sebanyak 0.72 peratus yang bererti seorang wanita di Korea Selatan melahirkan kurang satu anak.
Jika keadaan ini terus berlaku, Korea Selatan akan kehilangan separuh populasinya dalam 75 tahun mendatang.
Wanita di Korea Selatan berkata, mereka sering berasa terpaksa untuk memilih antara mempunyai kerjaya atau keluarga.
Akibatnya, lebih ramai wanita membuat pilihan untuk tidak berkahwin dan kekal menjadi anak dara tua.
Purata umur ibu baharu kini adalah 32 tahun, meningkat dari 30 tahun pada 2005, menurut Pejabat Perangkaan Kebangsaan.
Fenomena ini menjadi perhatian serius apabila jumlah penduduk yang menua semakin banyak, sementara generasi muda yang lahir semakin sedikit.
Di Korea Selatan, Presiden, Moon Jae-in melancarkan beberapa dasar untuk mencuba dan memberi insentif kepada wanita untuk mempunyai lebih ramai anak, termasuk insentif tunai untuk keluarga.
Di bawah skim itu, setiap kanak-kanak yang dilahirkan dari 2022 dan seterusnya menerima bonus tunai sebanyak dua juta won untuk membantu menampung perbelanjaan pranatal, selain bayaran bulanan yang meningkat setiap bulan sehingga bayi itu mencapai usia setahun.
Insentif lain termasuk jagaan harian percuma, gaji bersubsidi semasa cuti penjagaan anak.
CHINA
Berdasarkan laporan Reuters, populasi di negara ini mengalami penurunan sepanjang 2022 hingga 2023 akibat angka kelahiran yang rendah kesan pandemik Covid-19.
Biro Statistik Nasional China melaporkan jumlah keseluruhan penduduk turun sebanyak 2.08 juta sehingga populasi negara ini menjadi 1.49 juta pada tahun lalu.
Penurunan ini lebih besar jika dibandingkan penurunan populasi sebanyak 850,000 orang pada 2022. Fenomena kurang menjalinkan hubungan seks bersama pasangan di negara-negara Asia memberi kesan terhadap sosial dan ekonomi.
Penurunan populasi ini berpunca akibat individu terlalu kuat bekerja selain peningkatan jumlah penduduk lanjut usia yang akan membebankan sistem kesejahteraan sosial dan kesihatan.
Di China, ramai pakar berpandangan mengembalikan dasar satu anak mungkin sudah terlambat.
Selepas melihat peningkatan awal dalam kelahiran, jumlah itu terus menurun hampir 50 peratus dari 17.86 juta pada 2016 kepada 9.56 juta pada 2022, berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.
Kerajaan China turut memperkenalkan dasar baharu untuk menggalakkan pasangan mempunyai lebih ramai anak, meningkatkan penjagaan anak dan menambah baik kemudahan perumahan untuk keluarga yang mempunyai anak. – UTUSAN










