PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mendedahkan, ‘lambakan’ hasil laut menjadi tarikan kepada nelayan asing terutama dari Vietnam menceroboh perairan negara seterusnya ‘merompak’ hasil.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Kelantan, Komander Amiludin Yenggah berkata, masalah kekurangan hasil di Vietnam turut mendorong nelayan berkenaan masuk secara haram ke negara ini meskipun puluh kapal mereka sudah ditahan sebelum ini.
Menurutnya, kemudahan teknologi canggih yang mampu mengesan kedudukan kawasan banyak ikan merancakkan lagi kegiatan berkenaan.
“Ada dalam kalangan bot Vietnam ini sanggup masuk sehingga ke perairan Pahang untuk mendapatkan ikan dan kemudian dibawa pulang ke negara mereka.
“Walaupun menjadi satu kesalah, namun mereka nekad berbuat demikian. Sungguhpun begitu, tidak semua bot Vietnam mempunyai kemudahan untuk mengesan kawasan banyak ikan,” katanya.
Amiludin memberitahu, Maritim Kelantan akan terus melipat gandakan rondaan dan operasi dalam membendung pencerobohan nelayan asing.
“Kami tidak mahu suatu hari nanti nasib Malaysia sama sebagaimana mereka iaitu hasil ikan berkurangan dan disebabkan itu kawalan perairan negara sentiasa diperketatkan,” katanya.
Amiludin berkata, kebanyakan nelayan asing yang ditahan enggan memberi kerjasama termasuk mendedahkan siapa ‘di belakang’ mereka sehingga berani menceroboh perairan negara. – UTUSAN










