SANDAKAN: Seramai 15,000 perwakilan akan menghadiri Himpunan dan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah yang akan diadakan di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, esok.
Pada awalnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri himpunan tersebut namun, Perdana Menteri tidak dapat menghadiri himpunan berkenaan disebabkan jadual rasminya yang akan bertemu dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin pada Khamis.
Jadual rasmi pergerakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri turut mengesahkan Perdana Menteri tidak menghadiri Himpunan dan Konvensyen BN Sabah.
Berdasarkan jadual pergerakan yang dikeluarkan, hanya Ahmad Zahid akan hadir selaku Pengerusi BN bagi merasmikan penutupan Himpunan dan Konvensyen BN Sabah esok.
Semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan kehadiran Perdana Menteri dalam Himpunan BN Sabah tidak harus dilihat sebagai satu usaha untuk memecah-belahkan kesatuan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah.
Bung berkata, kenyataan `toksik’ yang dikeluarkan oleh Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar itu harus ditolak kerana ia sekadar satu persepsi daripada individu yang tidak berparti.
“Tidak timbul isu memecahkan-belahkan kesatuan antara GRS dan PH kerana di peringkat Pusat UMNO/BN merupakan pendukung utama kepada pembentukan kerajaan Perpaduan.
“Di Sabah GRS menafikan sumbangan besar UMNO/BN dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16,” katanya.
Himpunan dan Konvensyen BN Sabah akan turut diisi dengan forum bertemakan ‘BN membina negara bangsa’ yang akan diketuai oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bersama panel-panel lain.-UTUSAN











