ZURICH: Badan induk bola sepak dunia, FIFA, menangguhkan keputusan mengenai usaha Palestin untuk menggantung Israel daripada bola sepak antarabangsa.
FIFA dalam kenyataan berkata, penilaian undang-undang bebas terhadap cadangan Persatuan Bola Sepak Palestin terhadap Persatuan Bola Sepak Israel akan diberikan kepada Majlis FIFA, hari ini.
“Berikutan permintaan lanjutan daripada kedua-dua pihak untuk mengemukakan kedudukan masing-masing, yang diluluskan oleh FIFA, proses ini memerlukan lebih banyak masa bagi diselesaikan dengan teliti dan lengkap,” katanya.
Katanya, penilaian itu akan dikongsi dengan Majlis FIFA untuk sebarang keputusan selanjutnya, selewat-lewatnya pada 31 Ogos.
Sehubungan itu, pasukan bola sepak kebangsaan Israel boleh bermain di Sukan Olimpik Paris yang akan bermula 26 Julai ini.
Mei lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub menggesa supaya Israel digantung serta-merta daripada badan induk bola sepak dunia itu.
“Berapa banyak lagi penderitaan keluarga bola sepak Palestin yang ditanggung sebelum FIFA bertindak tegas dan segera, sama seperti kes-kes lain,” katanya semasa Kongres ke-74 di Bangkok.
Israel melancarkan serangan ketenteraan di Gaza sejak Oktober tahun lalu, membunuh dan mencederakan lebih 128,000 rakyat Palestin setakat ini.- AGENSI











