KYIV: Beberapa syarikat pemula di Ukraine giat membangunkan sistem Kecerdasan Buatan (AI) untuk membantu mengendalikan armada dron, yang bakal membawa peperangan ke wilayah yang belum diterokai.
Langkah itu dibuat ketika kedua-dua pihak bertempur dan berlumba untuk mendapatkan kelebihan teknologi dalam pertempuran.
Ukraine berharap pelancaran dron yang diperkasakan AI di sepanjang barisan hadapan akan membantu pihaknya mengatasi gangguan isyarat yang semakin meningkat oleh Russia serta membolehkan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) berfungsi dalam kumpulan lebih besar.
Pembangunan dron AI di Ukraine secara umumnya terbahagi kepada sistem visual yang membantu mengenal pasti sasaran dan menerbangkan dron ke dalamnya, pemetaan kawasan untuk navigasi serta program yang lebih kompleks membolehkan UAV beroperasi dalam ‘kumpulan’ yang saling berkaitan.
Antara syarikat yang mengusahakan projek ini, Swarmer, sedang membangunkan perisian yang menghubungkan dron dalam satu rangkaian.
Keputusan boleh dilaksanakan serta-merta di seluruh kumpulan, dengan manusia hanya campur tangan untuk memberi kelulusan kepada serangan automatik.
Ketua Pegawai Eksekutif Swarmer, Serhiy Kupriienko berkata, adalah mustahil untuk manusia menguruskan sekumpulan 10 hingga 20 dron atau robot.
“Apabila anda cuba untuk memperbesar skala (dengan juruterbang manusia), ia tidak berfungsi,” katanya.
Swarmer adalah antara 200 firma teknologi yang muncul sejak Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh pada 2022, dengan orang awam daripada latar belakang IT membangunkan dron dan peranti lain untuk membantu Ukraine menentang musuh.
Kupriienko berkata, walaupun juruterbang manusia menghadapi kesukaran untuk mengendalikan operasi yang melibatkan lebih daripada lima dron, AI mampu memproses ratusan dron.
Sistem yang dipanggil Styx mengarahkan tinjauan serta menyerang dron, sama ada besar mahupun kecil, di udara dan atas tanah.
Setiap dron akan dapat merancang pergerakannya sendiri dan meramalkan tingkah laku dron lain dalam kumpulan tersebut, katanya.
Selain meningkatkan operasi, Kupriienko berkata, automasi akan membantu melindungi juruterbang dron yang beroperasi berhampiran barisan hadapan dan menjadi sasaran utama tembakan musuh.
Beliau berkata, teknologi Swarmer masih dalam peringkat pembangunan dan hanya diuji di medan perang secara eksperimen.- REUTERS











