KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis tidak memahami keputusan parti dalam penggantungan keahliannya lalu.
Ab Rauf berkata, Muhammad Jailani perlu memahami alasan parti bersikap demikian dalam tempoh penggantungannya itu.
“Sepatutnya ketika parti mengambil tindakan, kita ikutlah etika parti supaya dapat memperbaiki kesilapan dan terhadap tindakan yang menyebabkan dia digantung daripada keahliannya.
“Jadi kalau kita bersikap tidak menampakkan bahawa sealiran dengan parti maka parti juga berhak menjalankan tugas sebagai pentadbir kepada wakil rakyat dalam parti ini
“Ia termasuk memberikan amaran dan tidak lagi memberikan kemudahan sebagai wakil rakyat berlandaskan pada surat aku janji yang ditandatangani dan dipersetujui kedua-dua belah pihak,” katanya pada sidang media hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Muhammad Jailani Khamis memberitahu, peruntukan di kawasannya telah disekat sehingga menyukarkan pemberian perkhidmatan kepada rakyat.
Bekas pemimpin UMNO itu berkata, beliau seolah-olah digantung tidak bertali walaupun pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin UMNO memohon untuk memecat keahliannya daripada parti tersebut.
“Saya sudah minta cara baik tetapi digantung (keahlian). Ibaratnya, kamu kahwin dengan saya, tetapi kamu seksa saya… gantung tidak bertali.
“Sekat peruntukan dan rampas pejabat saya. Macam mana saya nak berkhidmat?” soalnya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini memaklumkan, Muhammad Jailani telah menyertai parti itu pada 10 Jun tahun lalu. – UTUSAN











