Didenda RM78,000 benarkan 13 PATI tinggal di premis perniagaan - Utusan Malaysia

Didenda RM78,000 benarkan 13 PATI tinggal di premis perniagaan

LEONG Siew Mei didenda RM78,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas kesalahan membenarkan 13 PATI masuk dan tinggal di premis syarikat itu pada Januari lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Penyelia sebuah pusat kecantikan didenda RM78,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membenarkan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk dan tinggal di premis syarikat itu, Januari lalu.

Tertuduh, Leong Siew Mei, 63, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas wanita warga emas itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membenarkan 13 imigran haram iaitu dua lelaki warga Myanmar, empat wanita Vietnam, enam wanita Thailand dan seorang wanita warga Laos berusia antara 20 hingga 40 tahun memasuki dan berada dalam premis yang mana tertuduh mempunyai kawalan ke atas premis tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis tidak bernama di Jalan Medan Ipoh, Medan Ipoh Bestari dalam daerah Kinta pada pukul 11 malam, 12 Januari 2024.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.

Bagi kesalahan itu, hukuman yang diperuntukkan ialah denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen negeri, Mastura Mohamad Tajuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Mior Shah Azizi Mior Shaari.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menbayar denda RM6,000 bagi setiap PATI dengan jumlah keseluruhan RM78,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan semasa serbuan dilakukan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati premis berkenaan berselindung di sebalik perniagaan pusat kecantikan dengan menawarkan khidmat seks dan pelacuran.

Semua 13 imigran terlibat telah dijatuhi hukuman pada Februari lalu atas kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×