Jumlah kenderaan lebih banyak daripada penduduk

Jumlah kenderaan lebih banyak daripada penduduk

Jumlah kenderaan yang melebihi penduduk Malaysia menjadi punca peningkatan kes kemalangan jalan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan jumlah kenderaan di Malaysia yang mendadak dilihat sebagai punca utama kemalangan jalan raya terus meningkat saban tahun sehingga menyebabkan negara berhadapan kerugian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jumlah kenderaan berdaftar di negara ini menunjukkan peningkatan ‘luar biasa’ sehingga 36.6 juta bagi tahun lalu melebihi populasi Malaysia yang dianggarkan berjumlah 34 juta orang.

Ia mencatat peningkatan sebanyak lima juta kenderaan berdaftar berbanding dari tahun 2019 hingga 2023.

Pakar keselamatan jalan raya, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, peningkatan jumlah kenderaan yang mendadak itu membawa negara berhadapan dengan kerugian sebanyak RM25 bilion.

Oleh itu, menurut beliau, jumlah kenderaan di Malaysia perlu dikurangkan bagi me­ngurangkan risiko kemalangan di jalan raya sekali gus turut menghalang negara berdepan dengan kerugian.

Katanya, perkara tersebut terbukti membantu sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang merekodkan 418,237 kes kemala­ngan pada 2020 iaitu penurunan 149,279 kes atau 26.3 peratus berbanding 2019, ini dipercayai disebabkan kurangnya kende­raan di jalan raya.

“Selagi jumlah kendera­an negara kita bertambah maka risiko kemalangan akan meningkat. Sebab itu kita kena kurangkan iaitu melalui pemerkasaan sistem kende­raan awam.

“Apabila lebih ramai menaiki kenderaan awam berban­ding kenderaan persendirian, ia akan membantu mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya dan kemudian me­ngurangkan risiko kemalangan.

“Malah, hasrat untuk mencapai pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya pada kadar 50 peratus menjelang 2030 akan tercapai sekiranya kita ada satu sistem kenderaan yang dapat memindahkan rakyat dari kenderaan persendirian ke awam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media me­laporkan, negara menanggung kerugian lebih RM25 tahun lalu mewakili 1.4 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, berdasarkan statistik kematian dan kecederaan parah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan perangkaan kemalangan jalan raya dan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP), negara dianggarkan mengalami kerugian hampir RM18 bilion pada 2010 iaitu 2.2 peratus daripada KDNK.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itumeningkat kepada lebih RM25 bilion tahun lalu.

Mengulas lanjut, Dr. Munzilah berkata, pemandu juga perlu menjaga tingkah laku semasa memandu atau berada di atas jalan raya kerana ia merupakan faktor tertinggi sebabkan berlaku kemalangan.

Jelasnya, sikap memandu laju tanpa mematuhi had ditetapkan, dalam keadaan mabuk, tidak mematuhi peraturan-peraturan jalan raya dan sebagainya merupakan sikap yang perlu diubah.

“Pemandu kena ada sikap ‘memberi dan menerima’, jangan berebut-rebut, sabar dan sentiasa memberi keutamaan kepada kenderaan yang lebih kecil. Tetapi perlu diakui untuk mendidik dan mengubah sikap pemandu di Malaysia memang sangat-sangat sukar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini