JOHOR BAHRU: GiatMara Pasir Gudang meraih Anugerah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) Terbaik 2024, baru-baru ini, mengalahkan 223 GiatMara lain.
Pengurusnya, Erwan Djunaidy Shasrial berkata, pemilihan itu berdasarkan banyak kemenangan yang dicapai dalam pelbagai pertandingan, termasuk World Skill Competition yang disertai pihaknya.
“Banyak kejayaan yang telah dicapai oleh pelajar dalam setiap pertandingan seperti memasuki peringkat akhir Pertandingan Dron Junior Skill Kebangsaan dan memenangi Anugerah Pendidik Cemerlang Mara 2024 Peringkat Kebangsaan.
“Kejayaan GiatMara Pasir Gudang membuktikan tenaga pengajar berjaya mendidik pelajar menjadi yang terbaik dalam setiap kursus yang ditawarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Erwan, GiatMara Pasir Gudang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Sementara itu, tenaga pengajar dalam bidang fesyen, Ts. Hairul Akmal Muhamad, 50, meraih Anugerah Pendidik Cemerlang Mara 2024 Peringkat Kebangsaan. –UTUSAN










