Berhenti kerja jaga ibu, isteri

Berhenti kerja jaga ibu, isteri

MOHD. NOOR FITRI Rohim terpaksa berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh masa menjaga Jamilah Aziz (tengah) dan Nurul Huda Othman (kanan). – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Mohd. Noor Fitri Rohim cekal menjalankan tanggungjawab sebagai anak dan suami dengan menjaga ibu yang menghidap sawan dan saraf serta isterinya, penghidap talasemia sejak dua tahun lalu.

Mohd. Noor Fitri, 40, berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai penyelia keselamatan dengan gaji RM3,000 sebulan demi menjaga kedua-dua insan disayanginya itu secara sepenuh masa.

Menurutnya, keputusan berat itu perlu diambil demi memastikan ibunya, Jamilah Aziz, 67, dan isteri, Nurul Huda Othman, 40, berada di sampingnya setiap masa bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memandangkan sebelum ini kerja saya lebih bebas berbanding tiga adik-beradik lain yang mempunyai kerja tetap, jadi saya buat keputusan jaga ibu yang turut menghidap alzheimer selain sawan dan saraf. Susah juga untuk kami jaga secara bergilir-gilir, jadi kami semua sepakat dan bersetuju dengan keputusan ini.

“Dalam masa sama, isteri saya memerlukan penjagaan rapi kerana tidak boleh melakukan kerja berat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Indera Mahkota di sini.

Sejak berhenti kerja, dia kini tiada lagi sumber pendapatan tetap, namun adik-beradiknya banyak menghulurkan bantuan terutama kewangan.

Jelasnya, ibunya ada mene­rima bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) berjumlah RM400, namun masih tidak mencukupi.

“Kos penjagaan ibu agak tinggi terutama susu khas yang diminum berharga RM110 satu tin dan sekurang-kurangnya memerlukan lima tin susu khas bagi tempoh sebulan menggunakan tiub khas.

“Tiub khas, alas badan dan lampin pakai buang juga banyak digunakan yang menyebabkan banyak kos tambahan diperlukan. Isteri saya pula langsung tidak dapat keluar bekerja malah perlu berulang-alik ke hospital mengambil darah hampir setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, bagi menampung perbelanjaan harian dan rawatan kesihatan ibu serta isterinya, dia tidak menolak jika ada pihak sudi menghulurkan bantuan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Noor Fitri di talian 013-9545470 atau menyumbangterus ke akaunnya, Maybank 156011965081. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini