JERANTUT: Seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24 di sini menerima pengiktirafan daripada Felda sempena Hari Peneroka Felda 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.
Muhammad Alimie Razak, 18, merupakan pelajar pertama SMK Jengka 24 memperoleh keputusan 9A sejak sekolah itu dibuka pada 1984.
Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berkata, kejayaan itu merupakan kebanggaan buat dirinya apabila dapat mengharumkan nama Felda Jengka 24.
“Tiada apa mampu saya ungkapkan selain syukur ke hadrat Allah SWT.
“Ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berjaya dalam pelajaran dan mengharumkan nama keluarga serta Felda.
“Saya bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan bagi menyambung legasi guru mendidik anak bangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seramai 29 pelajar generasi baharu Felda yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2023 diraikan Kementerian Pendidikan dan Felda sempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di MAEPS, kelmarin.
Muhammad Alimie berkata, hadiah RM1,000 yang diterimanya akan disimpan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). – UTUSAN











