KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) berhasrat menjadikan Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh sebagai pusat kecemerlangan fisioterapi pada masa akan datang.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin bagaimanapun, perkara itu masih dalam perancangan dan juga memerlukan bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk direalisasikan.
“Ini adalah permulaan dan kita sedang melengkapkannya termasuk menghantar pakar bahagian fisioterapi daripada Hopsital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk memberi perkhidmatan di sana.
“JKNK akui semua hospital lain di negeri ini ada menyediakan perkhidmatan kemudahan rawatan fisioterapi. Namun impian kita adalah untuk menjadikan HTA sebagai Pusat Kecemerlangan Fisioterapi sama seperti Hospital Pasir Mas (HPM) yang kini dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan Rehabilitasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Persidangan Fisioterapi KKM kali Ke-7 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Zaini memberitahu, pada masa sama HTA akan dijadikan sebagai pusat rujukan fisoterapi, selain memusatkan kepakaran.
Katanya, usaha itu bertujuan mengelakkan kesesakan semasa mendapat rawatan di HRPZ II.
“Alhamdulillah, semua hospital kerajaan di negeri ini mampu memberi perkhidmatan dan pada masa akan berusaha mempertingkatkan perkhidmatan,” ujarnya.-UTUSAN










