HULU SELANGOR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan pencarian bahan bukti bagi siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di satu lagi lokasi kira-kira 20 minit dari Kampung Sri Kledang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi tersebut bagi mencari bahan bukti dipercayai barangan peribadi milik mangsa.
“Ada satu (lokasi) lagi untuk selam kira-kira 20 minit dari sini, di kawasan Perak.
“Pagi ini saya sahkan kita berjaya menemukan telefon bimbit dipercayai milik mangsa bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau di lokasi kejadian.
Menurutnya, proses pencarian akan diteruskan sehingga pasukan penyiasat berpuas hati dengan bahan-bahan bukti yang ditemukan.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan polis menemukan telefon bimbit jenis iPhone dalam parit di lokasi kejadian dipercayai milik Nur Farah Kartini, kira-kira 12.20 tengah hari.
Difahamkan bahan bukti tersebut ditemukan satu jam selepas operasi pencarian dilakukan Unit Skuba (Unit Forensik) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibantu pihak bomba.
Suspek lelaki berusia 26 tahun itu dilihat dibawa ke lokasi kejadian dipercayai bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha mengesan barang bukti yang berada di sebuah parit di lokasi kejadian.
Suspek yang juga anggota polis di sebuah balai di Perak dilihat berpakaian baju lokap berwarna oren lengkap bergari selain dikawal ketat beberapa anggota polis ke lokasi pencarian kira-kira pukul 11.40 pagi.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










